KOTA BHARU: Pemain industri pelancongan digesa merebut peluang menjadikan negeri ini sebagai destinasi alternatif kepada Hat Yai, Thailand yang selama ini menjadi pilihan utama pelancong tempatan khususnya dari Pantai Timur.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, Wan Saipul Azwal Wan Mohamad berkata, Kelantan mempunyai kelebihan tersendiri termasuk produk pelancongan, makanan dan budaya yang hampir menyamai tarikan di selatan Thailand namun kurang dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, kewujudan pasar terapung, kepelbagaian menu makanan yang hampir sama seperti tomyam, pulut mangga, kerabu serta hidangan makanan laut adalah antara kekuatan besar yang boleh diketengahkan sebagai tarikan utama pelancong.
“Ramai rakyat Malaysia sanggup ke Hat Yai kerana makanan, suasana pasar dan pengalaman membeli-belah. Hakikatnya, elemen itu turut ada di Kelantan malah lebih diyakini daripada segi halal dan patuh syariah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Saipul Azwa berkata, identiti Kelantan sebagai Serambi Mekah adalah nilai tambah yang tidak dimiliki oleh Hat Yai sekali gus memberi kelebihan kepada negeri itu sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
Katanya, promosi secara agresif, penambahbaikan kemudahan pelancongan dan penyediaan pakej pelancongan bersepadu amat diperlukan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kerjasama semua pihak termasuk pengusaha pelancongan, peniaga, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri amat penting bagi memposisikan Kelantan sebagai destinasi pilihan utama,” ujarnya.
Wan Saipul Azwal berkata, jika dirancang dengan baik, Kelantan bukan sahaja mampu menyaingi tarikan Hat Yai, malah berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan utama negara yang beridentitikan Islam, budaya Melayu dan keunikan tempatan.
Katanya, usaha tersebut diyakini mampu merancakkan ekonomi negeri, meningkatkan pendapatan rakyat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan.-UTUSAN.










