SEREMBAN: Polis menemukan tiga objek disyaki alat letupan buatan sendiri (IED) susulan kejadian letupan yang berlaku di kawasan parkir Pangsapuri Desa Palma, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.08 pagi selepas orang awam memaklumkan terdapat objek meletup dan paku bertaburan di kawasan berkenaan melalui panggilan MERS 999.
“Hasil maklumat awal daripada saksi awam mendapati letupan yang berlaku dipercayai berpunca daripada sebuah kereta.
“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas beberapa rumah berhampiran lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan ke atas salah sebuah rumah, polis menemukan tiga objek disyaki sebagai IED,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, kira-kira 250 meter dari lokasi kejadian, pihaknya turut menjumpai sebuah kenderaan yang disyaki menjadi punca letupan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu turut menemukan beberapa peralatan dan bahan yang disyaki berkaitan dengan kejadian letupan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini sedang giat mengesan suspek insiden letupan berkenaan bagi membantu siasatan. – UTUSAN







