ITMAX ambil alih kepentingan ekuti Tapway RM5.6 juta - Utusan Malaysia

ITMAX ambil alih kepentingan ekuti Tapway RM5.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ITMAX System Berhad (ITMAX), penyedia penyelesaian infrastruktur digital bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI), mengambil alih kepentingan ekuiti sebanyak 70 peratus atau bernilai RM5.6 juta dalam Tapway Sdn. Bhd. (Tapway), sebuah syarikat teknologi Vision AI yang memfokuskan aplikasi komersial.

Pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman dan sebagai sebahagian daripada pengambilalihan tersebut, Tapway akan menyediakan jaminan keuntungan sebanyak RM1.0 juta bagi setiap tahun kewangan selama tiga tahun berturut-turut, bermula dari tahun kewangan 2026 hingga 2028.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, pengambilalihan Tapway menandakan satu pencapaian strategik penting dalam usaha memperkukuh bakat AI tempatan.

“Ia juga akan mempercepatkan pengembangan perniagaan melepasi projek bandar pintar yang diterajui kerajaan kepada sektor swasta dan komersial.

“Tapway memberikan kami akses segera kepada kes penggunaan komersial yang telah terbukti merangkumi pusat beli-belah, ladang, lebuh raya dan kemudahan pembuatan.

“Ini walaupun ITMAX secara tradisinya menumpukan kepada pelaksanaan infrastruktur digital berskala besar berasaskan langganan untuk bandar dan agensi awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengembangkan Tapway daripada penyedia berasaskan perisian kepada platform penyelesaian AI menyeluruh dari hujung ke hujung.

“Ini dengan menggabungkan keupayaan perisian Vision AI Tapway bersama kekuatan ITMAX yang mantap dalam pelaksanaan infrastruktur, kesalinghubungan, operasi dan penyampaian perkhidmatan jangka panjang,

“Peralihan ini meningkatkan cadangan nilai kami kepada pelanggan komersial serta menyokong pengembangan aliran pendapatan berulang.

“Sama pentingnya, pengambilalihan ini membawa masuk sebuah pasukan Vision AI tempatan yang berpengalaman tinggi dan memperdalam keupayaan teknologi kami.

“Status Tapway sebagai Rakan NVIDIA Metropolis turut mengukuhkan ekosistem AI ITMAX serta memperkukuh keupayaan kami untuk menyampaikan penyelesaian Vision AI bertaraf perusahaan yang sejajar dengan piawaian global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×