Coastal peroleh kontrak daripada syarikat minyak Mexico bernilai RM4.64 bilion - Utusan Malaysia

Coastal peroleh kontrak daripada syarikat minyak Mexico bernilai RM4.64 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Coastal Contracts Bhd. (Coastal) berjaya memperoleh kontrak jangka panjang bernilai besar daripada Petróleos Mexicanos (Pemex), syarikat minyak nasional Mexico dengan nilai agregat kontrak baharu ini adalah kira-kira AS$1.14 bilion (RM4.64 bilion).

Kontrak itu diperoleh dengan syarikat usaha sama Mexiconya, Coastoil Dynamic SA de CV (CD), Sistemas Integrales de Compresión SA de CV dan Nuvoil SA de CV pada 19 Disember 2025 (waktu Mexico).

Susulan kemenangan kontrak baharu itu, jumlah buku pesanan CD dianggarkan meningkat kepada kira-kira RM7.40 bilion, memberikan keterlihatan hasil yang kukuh dan kemampanan pendapatan sehingga Ogos 2035.

Ini disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh dengan lebih AS$100 juta (RM407.7 juta), CD berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh untuk menyampaikan kerja dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan kami dengan penuh keyakinan.

Pengerusi Eksekutif Coastal, Ng Chin Heng berkata, dengan kemenangan kontrak itu, kumpulan terus mengukuhkan peranan strategiknya dalam menyokong rantaian nilai pengeluaran Pemex dan objektif pembangunan tenaga Mexico secara lebih luas.

“Kami berasa amat berbesar hati kerana Pemex sekali lagi mempercayakan syarikat usaha sama kami dengan peranan yang diperluaskan di Medan Ixachi.

“Kemenangan kontrak utama ini mencerminkan keyakinan berterusan Pemex terhadap keupayaan teknikal kami, prestasi operasi serta perkongsian jangka panjang kami dengan Nuvoil di Mexico.

“Kami juga kekal komited untuk menyampaikan penyelesaian yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi yang menyumbang kepada kejayaan jangka panjang Medan Ixachi,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Perolehan kontrak utama itu mengukuhkan kedudukan strategik CD di Medan Ixachi, salah satu lembangan gas darat yang paling signifikan di Mexico, dan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam trajektori pertumbuhan global berterusan Coastal.

Di bawah kontrak itu, konsortium dengan CD bertindak sebagai ketua konsortium akan menyediakan kepada Pemex skop perkhidmatan pemprosesan gas bernilai tinggi dan kerja-kerja infrastruktur yang diperluaskan dengan ketara.

Skop itu merangkumi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan loji pemanisan gas berkapasiti 150 mmscfd (Loji Papan ke-2), sebuah loji pengasingan dengan kapasiti pengendalian 900 mmsefd gas dan 56,000 tong minyak sehari (bpd), infrastruktur kekal berkaitan.
Ini termasuk saluran paip kondensat, serta penyediaan perkhidmatan pemanisan gas oleh Loji Papan ke-2 setelah loji tersebut ditauliahkan menjelang suku keempat 2026.

Skop menyeluruh itu menegaskan keupayaan teknikal CD yang terbukti dan mengukuhkan keyakinan Pemex terhadap komitmen jangka panjang kami dalam sektor pemprosesan gas Mexico.

Sementara itu, jumlah kapasiti pemprosesan gas CD turut akan meningkat kepada 680 mmscfd, yang terdiri daripada 180 mmscfd daripada Loji Perdiz (dikontrak untuk beroperasi sehingga Disember 2027), 350 mmsefd daripada Loji Papan sedia ada (dikontrak sehingga Oktober 2032) dan 150 mmscfd daripada Loji Papan ke-2 (dikontrak untuk tempoh 8 tahun dan 10 bulan sehingga Ogos 2035).

Kapasiti yang diperluaskan ini mengukuhkan peranan strategik CD dalam rantaian nilai gas darat Pemex dan meletakkannya sebagai salah satu pengendali pemprosesan gas terkemuka yang menyokong sektor huluan Mexico.

Apabila Medan Ixachi mencapai pengeluaran puncaknya melebihi 1,000 mmscfd dalam tahun-tahun akan datang, kapasiti gabungan semasa sebanyak 680 mmscfd masih tidak mencukupi untuk memproses keseluruhan pengeluaran, sekali gus menunjukkan potensi untuk peluasan kapasiti loji pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×