Dagangan Malaysia meningkat kepada RM263.83 bilion - Utusan Malaysia

Dagangan Malaysia meningkat kepada RM263.83 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia meningkat 11.1 peratus kepada RM263.83 bilion pada November 2025, dipacu pertumbuhan eksport serta lonjakan import barangan modal dan perantaraan bernilai tinggi yang mencerminkan proses peningkatan kapasiti industri negara.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), eksport meningkat 7.0 peratus kepada RM134.97 bilion, manakala import berkembang lebih pantas sebanyak 15.8 peratus kepada RM128.86 bilion. 

“Perkembangan ini menghasilkan lebihan dagangan RM6.12 bilion, menandakan bulan ke-67 berturut-turut Malaysia merekodkan lebihan dagangan sejak lima tahun lalu.

“Bagaimanapun, lebihan dagangan pada November didapati menyempit berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh peningkatan ketara import barangan modal dan perantaraan, yang dilihat sebagai petunjuk pelaburan produktif serta proses naik taraf industri, bukannya kelembapan eksport,” katanya dalam kenyataan. 

Import barangan modal melonjak 56.8 peratus kepada RM20.81 bilion, dipacu terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E). 

Import ini merangkumi infrastruktur kritikal bagi pusat data dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti pelayan, mesin penghantaran serta peralatan pengkomputeran berprestasi tinggi.

Pada masa sama, import barangan perantaraan meningkat lima peratus kepada RM66.43 bilion, disokong permintaan kukuh terhadap litar bersepadu (IC) dan mikro pemasangan. 

Keadaan ini mencerminkan aktiviti pengeluaran yang berintensiti tinggi dalam ekosistem pembuatan negara, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan eksport pada masa hadapan.

Matrade menyifatkan penyederhanaan imbangan dagangan pada November sebagai satu penyempitan yang positif, memandangkan ia didorong oleh lonjakan pelaburan modal yang disengajakan.

“Import komponen utama bagi AI dan infrastruktur digital hari ini penting bagi memastikan daya saing Malaysia sebagai hab rantaian bekalan global pada masa hadapan, selari dengan peralihan ke arah ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

“Prestasi perdagangan November turut mencerminkan kedudukan Malaysia yang lebih berdaya tahan berbanding beberapa negara serantau lain yang berdepan turun naik luaran serta defisit dagangan dalam tempoh sama. Malaysia kekal mencatat lebihan dagangan konsisten sejak lebih lima tahun lalu.

“Selain itu, pemerolehan strategik pesawat serta jentera berat seperti kren jambatan menunjukkan pelaburan jangka panjang yang berterusan dalam keupayaan aeroangkasa dan logistik negara,” katanya. 

Bagi tempoh Januari hingga November 2025, Malaysia merekodkan nilai kumulatif tertinggi dalam sejarah bagi jumlah dagangan, eksport dan import. 

Jumlah dagangan meningkat 5.8 peratus kepada RM2.775 trilion, manakala lebihan dagangan berkembang 10.7 peratus kepada RM132.56 bilion.

Prestasi memberangsangkan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara dagangan yang berdaya tahan dan terpelbagai, serta bersedia menghadapi landskap ekonomi global yang semakin mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×