Cedera bermain bola sepak bongkar kanser remaja pintar

Cedera bermain bola sepak bongkar kanser remaja pintar

NUR Hidayah Salleh (kanan) menunjukkan kesan pembedahan kepala Muhammad Danish Akif kepada Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal di Taman Cahaya, Jitra di Kubang Pasu, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Jika tidak kerana kecederaan pada mata ketika bermain bola sepak, seorang pelajar berusia 15 tahun mungkin tidak akan mengetahui bahawa dia sebenarnya menghidap kanser.

Namun, ketulan sebesar bola pingpong di mata kiri Muhammad Danish Akif Muhammad Zulkhaery itu kini telah dikeluarkan selepas doktor mengesan dia menghidap kanser otot atau Rhabdomyosarcoma (RMS).

Menurut ibunya, Nur Hida­yah Md. Salleh, 42, pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu itu disahkan menghidap kanser itu pada April lepas dan kini menjalani rawatan kemoterapi serta radiografi.

“Mata Danish cedera ketika main bola, setelah dua minggu dirawat matanya semakin bengkak dan doktor melakukan MRI sebelum mengesan ada ketumbuhan sebesar bola pingpong di belakang mata kirinya.” katanya ketika ditemui di Taman Cahaya, Jitra di sini.

Nur Hidayah berkata, anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang simptom menghidap pe­nyakit tersebut walaupun mempunyai ketumbuhan sebesar itu di matanya.

“Dia kini sudah menjalani sepenuhnya rawatan 28 kali radiografi dan tujuh daripada 13 kali kemoterapi. Setakat ini dia menunjukkan perkembangan yang baik,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, dugaan itu agak berat untuk dirinya yang bekerja sebagai kerani, sementara suaminya, Muhammad Zulkhaery A. Rahman, 45, hanya bekerja kampung.

“Setakat ini Danish dapat bantuan Majlis Kanser Nasional sebanyak RM200 sebulan untuk membeli kelengkapan diri seperti pad untuk menutup matanya yang pedih dan kering kalau terkena angin,” katanya.

Muhammad Danish juga terpaksa bercuti sekolah sejak Mei lepas dan berharap untuk segera sembuh agar dapat kembali ke sekolah bagi menjalani kehidupan seperti biasa.

Mereka yang ingin menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian ke akaun Nur Hidayah, 7079022520 (CIMB).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×