GOPENG: Masalah capaian internet terus membelenggu penduduk Orang Asli Kampung Ulu Geruntum di sini, sekali gus menjejaskan perhubungan, pendidikan serta keselamatan komuniti berkenaan.
Tok Batin kampung tersebut, Bah Judu Bah Tangoi berkata, capaian internet lemah dan tidak stabil itu menyukarkan penduduk untuk menghubungi pihak berkuasa ketika berdepan situasi kecemasan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa membawa telefon bimbit ke kawasan tinggi atau bergerak jauh dari rumah sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan.
“Anak-anak terpaksa keluar ke kawasan berbukit, ada yang lebih dua hingga tiga kilometer dari rumah hanya untuk mendapatkan capaian internet.
“Keadaan ini membimbangkan kami kerana sekiranya berlaku kecemasan seperti kesihatan atau kemalangan, penduduk sukar menghubungi ambulans atau pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bah Judu berkata, masalah capaian internet turut memberi kesan besar kepada urusan harian penduduk termasuk pendidikan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Geruntum.
Katanya, murid-murid sering berdepan kesukaran menyiapkan tugasan sekolah yang memerlukan penggunaan internet selain ketinggalan dalam pembelajaran digital berbanding rakan sebaya di kawasan lain.
“Liputan internet sering terputus-putus dan ada kalanya langsung tiada isyarat. Ini menyebabkan urusan pembelajaran murid terganggu dan tidak lancar,” katanya.
Seorang remaja, Wah Simnor Bah Arif, 17, berkata, mereka kecewa dengan keadaan capaian internet yang terlalu lemah walaupun sistem telekomunikasi dilaporkan telah dipasang di kampung itu sejak setahun lalu.
Menurutnya, sehingga kini penduduk masih belum menikmati kemudahan internet yang sempurna sekali gus menjejaskan urusan komunikasi dan keperluan seharian.
“Ada ketikanya kami terpaksa keluar ke jalan atas bukit satu atau dua kilometer dari rumah semata-mata untuk mendapatkan capaian internet.
“Kami dimaklumkan menara telekomunikasi sudah siap namun liputan masih belum stabil. Kami berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini demi kemudahan penduduk,” katanya.
Katanya, masalah capaian internet itu bukan sahaja menjejaskan perhubungan sosial malah turut memberi kesan kepada akses maklumat, perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta peluang ekonomi penduduk Orang Asli.
“Kami berharap pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap isu ini untuk kemudahan kami,” katanya.-UTUSAN.










