SEREMBAN: Aktivis kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF), Ustaz Mad Kecik menerima pengiktirafan sebagai Ikon Sukarelawan sempena Majlis Konvokesyen Kemahiran, Keusahawanan dan Kesukarelawan, Pertubuhan TVETec Malaysia (TVETec Malaysia) 2025 hari ini.
Beliau dengan nama sebenar Muhammad Abdullah, 32, berkata, pengiktirafan yang diterimanya merupakan amanah dan pembakar semangatnya untuk terus komited dalam misi kemanusiaan.
“Saya rasakan ramai lagi yang lebih layak, namun apabila dipilih, saya bersyukur kerana ini peluang daripada Allah SWT untuk terus berjuang melaksanakan misi kemanusiaan.
“Saya berharap pengiktirafan ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat dan sokongan dalam kerja sukarelawan tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa,” katanya ketika ditemui di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan menyertai beberapa misi kemanusiaan akan datang termasuk ke Aceh, Indonesia yang kini terkesan dengan bencana banjir dan tanah runtuh.
Sementara itu, pada majlis yang sama, usahawan produk kosmetik dan perkhidmatan spa, Datin Rohaiza Mohamed, 64, pula menerima Anugerah Grand Master Coach.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam kajian herbal dan botani memberitahu, anugerah itu akan memberi peluang untuk terus berkongsi ilmu dan pengalaman kepada usahawan lain.
“Kalau tidak diiktiraf atau diberikan sokongan melalui program seumpama ini, usahawan-usahawan di luar sana tidak dapat mengukur potensi diri dan memberi sumbangan terbaik kepada masyarakat. Jadi, inisiatif ini sangat penting untuk disokong,” katanya.
Rohaiza berkata, walaupun mengajar dan membimbing usahawan pada usia 64 tahun mempunyai cabaran tersendiri, fokus dan niat untuk berbuat kebaikan menjadikan segala halangan itu tidak menjadi masalah.
Seramai 260 individu pelbagai latar belakang menerima pengiktirafan dalam majlis konvokesyen itu selain kehadiran 40 orang alumni program berkenaan. – UTUSAN









