KUALA LUMPUR: Cara komunikasi dalam kalangan menteri Kabinet perlu berubah selaras dengan prinsip meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memahami impak dasar kepada semua pihak.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, penyaluran maklumat yang disampaikan juga perlu selari dengan segmen sasaran, platform dan kaedah penyampaian.
“Tak guna kita sediakan maklumat yang baik, tetapi tidak sampai atau tidak dapat dihadam oleh rakyat. Kita perlu faham segmen sasaran, platform yang mereka guna, dan bentuk penyampaian yang paling sesuai,” katanya memetik laporan Bernama.
Dalam pada itu Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, beberapa kajian mendapati generasi Gen Z dan Gen Alpha banyak memperoleh maklumat melalui platform seperti WhatsApp, TikTok, dan Facebook.
Bagaimanapun katanya, mereka masih meletakkan kepercayaan tinggi terhadap berita disiarkan di televisyen, radio, dan akhbar, meskipun kadar penggunaan media tradisional semakin menurun.
“Ini satu keadaan yang unik. Mereka jarang menonton televisyen, tetapi apabila menonton berita di televisyen, mereka percaya.
“Jadi kita perlu manfaatkan kepercayaan ini dan pada masa sama menyesuaikan pendekatan komunikasi dengan realiti digital hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, bagi memperkukuh keselamatan internet, kementerian akan melaksana Kempen Internet Selamat 2.0 yang bukan hanya menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja tetapi ibu bapa serta masyarakat.
“Saya berasa bersalah sekiranya kita hanya berjaya menyediakan Internet yang laju dan murah, tetapi tidak selamat. Sebab itu, Kempen Internet Selamat 2.0 akan dilipatgandakan,” katanya.
Mengulas rangkuman kejayaan tahun ini, beliau berkata antara pencapaian paling membanggakan adalah penubuhan Majlis Media Malaysia selepas lebih lima dekad diperjuangkan. – UTUSAN











