BANGKOK: Kontinjen Malaysia secara rasmi melabuhkan tirai Sukan SEA Thailand 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila menamatkan perjuangan di tangga keempat dengan meraih masing-masing 57 pingat emas dan perak serta 117 gangsa.
Pencapaian keseluruhan dengan mengumpul 231 pingat itu adalah yang terbaik berbanding tiga edisi lalu di Filipina, Vietnam dan Kemboja, selain kontinjen negara turut berjaya melepasi sasaran mengutip 200 pingat, sekali gus sekali gus menjadi ‘batu asas’ yang cukup kukuh apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi edisi 2027 yang juga temasya kali ke-34.
Prestasi memberangsangkan ini dilihat sebagai satu peningkatan drastik jika dibandingkan dengan pencapaian hambar pada edisi dua tahun lalu di Kemboja yang menyaksikan Malaysia sekadar menghuni tangga ketujuh keseluruhan dengan mengumpul 34 pingat emas.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, Malaysia berada di landasan terbaik untuk muncul juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah pada edisi ke-34 pada 2027 selepas meraih 231 pingat pada temasya kali ini selain berada di kedudukan keemat keseluruhan.
“Kita telah pun menduduki tempat keempat, memperbaiki ranking daripada tempat ketujuh di Kamboja dan tempat keenam di Vietnam. Ini merupakan satu perkembangan yang baik menjelang pengajuran sukansi di Kuala Lumpur, di Malaysia nanti pada tahun 2027,” katanya.
Sementara itu, Jefri mahu persatuan sukan Malaysia memperhalusi pemilihan dan persiapan dalam Kategori B bagi mengelak kehadiran atlet dalam kategori berkenaan ke temasya dwitahunan itu dianggap sebagai ‘penumpang’ semata-mata.
“Atlet dalam kategori A telahpun menyumbangkan pingat sebanyak 62 peratus, manakala kategori B adalah 24 peratus. Ini yang kita ingin bincangkan, bagaimana kita ingin memastikan bahawa sukan-sukan dalam kategori B dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka.
“Untuk Kategori B, mereka perlu membuat persiapan yang lebih rapi, lebih awal supaya dapat menyumbang. Jadi saya rasa kita perlu lihat kepada fasa pemilihan, persiapan pasukan supaya sukan-sukan yang hadir ke temasya bukan sekadar menjadi penumpang
“Ini sangat penting untuk masa depan, saya harap PSM (persatuan sukan Malaysia) berperhalusi kembali kriteria pemilihan dan kita akan bincangkan dengan persatuan bagaimana untuk persiapan pemilihan untuk edisi yang akan dating,” katanya.
Pada edisi kali ini. tumpuan utama pastinya terarah kepada skuad sepak takraw negara yang melakar sejarah ‘keramat’ apabila menewaskan musuh tradisi, Thailand, dalam acara regu berpasukan lelaki di halaman lawan, sekali gus menamatkan penantian selama 34 tahun untuk memecahkan dominasi mutlak tuan rumah.
Duka lama itu turut dirawat dengan cukup baik apabila skuad kendalian Ahmad Jais Baharun apabila turut menghadiah emas terakhir kontinjen Malaysia di temasya dwitahunan tersebut dalam acara regu selepas melibas Vietnam dalam aksi final.
Sementara itu, kem judo negara tidak kurang hebatnya apabila melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian 44 tahun dengan kejayaan penuh emosi apabila Amir Daniel Abdul Majeed mempersembahkan aksi bertenaga dalam kategori lelaki bawah 81 kilogram (kg) untuk menumbangkan pencabar dari Filipina, John Viron Ferrer bagi merangkul emas.
Kemenangan itu diraikan dengan linangan air mata oleh Amir yang mendedikasikan pingat emas bersejarah tersebut khas buat Allahyarham bapanya yang meninggal dunia sewaktu dia sedang menjalani latihan awal bulan lalu, sekali gus mengulangi pencapaian emas yang kali terakhir dituai kem judo pada 1981.
Pentas olahraga turut menjadi saksi kehebatan atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin yang terus melakar sejarah tersendiri apabila merangkul pingat emas ketujuh berturut-turut di pentas Sukan SEA, satu dominasi mutlak yang sukar digugat oleh mana-mana pencabar serantau.
Ratu tukul besi negara, Grace Wong pula cemerlang memahat nama sebagai pemegang rekod baharu temasya, selain turut memperbaharui rekod kebangsaan dan rekod peribadinya dalam satu saingan yang cukup mendebarkan untuk memastikan emas tetap milik Malaysia.
Secara keseluruhannya, kontinjen negara berjaya meleburkan enam rekod kejohanan dan 12 rekod kebangsaan, dengan sukan akuatik renang dan menembak menjadi penyumbang utama kepada keberhasilan pingat yang luar biasa pada temasya dwitahunan tersebut.
Jaguh renang, Khiew Hoe Yean dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki selepas merangkul dua emas, satu perak, dan satu gangsa, manakala atlet wushu, Tan Cheong Min diangkat sebagai Atlet Terbaik Wanita dengan koleksi dua pingat emas mutlak.
Apa yang lebih membanggakan, edisi kali ini menyaksikan keberanian Malaysia mempertaruhkan 56 peratus atlet muda yang membuat penampilan sulung, dengan 28 daripada 50 jenis sukan yang disertai berjaya menyumbangkan pingat emas sebagai bukti keberkesanan program pelapis.
Kisah inspirasi turut dicatatkan oleh atlet pelayaran berusia 13 tahun, Muhammad Yaasin yang meraih gangsa, manakala atlet veteran menembak, Khor Seng Chye, 64, membuktikan usia bukan penghalang apabila turut membawa pulang pingat gangsa sebelum MSN memulakan perancangan rapi bagi kalendar 2026. – UTUSAN
CAPTION
Jefri Ngadirin (dua dari kanan) bersama Ketua Kontinjen ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd. Nasir Ali (kanan) dalam sidang akhbar di Bangkok, semalam. Turut kelihatan timbalan ketua kontinjen, Datuk Kenny Goh.










