KELUASAN kediaman ini hanya 550 kaki persegi sahaja, namun setiap inci ruang terasa tersusun rapi, menenangkan dan memikat hati.
Tatarias rapi oleh pemiliknya, Siti Sara Azman menerbitkan suasana tenang dan lapang pada ruang sederhana.
Suasana harmoni itu terhasil daripada konsep Scandinavian yang dipadukan dengan Japandi minimalis.
Gabungan dua gaya ini menekankan kesederhanaan, fungsi dan estetik yang praktikal.
“Konsep ini membuatkan rumah nampak luas walaupun ruang kecil. Ia juga lebih mudah dijaga kerana barang tidak penuh
dan berserabut, jadi mata pun tidak cepat penat.
“Selain itu, ia praktikal dengan pemilihan perabot ringkas dan mudah alih selain banyak ruang penyimpanan tersembunyi untuk menyimpan barang-barang kecil,” katanya kepada Seri.
Rumah pangsa ini mengetengahkan gabungan warna neutral, perabot kayu berona cerah dan pencahayaan semula jadi yang dipadankan dengan lampu rona hangat untuk mencipta suasana nyaman.
Tekstur lembut daripada linen dan kapas turut digunakan bagi menambah kelembutan tanpa membuat ruang terasa sarat.
Beberapa aksesori seperti seramik diletakkan secara strategik untuk mengekalkan keseimbangan visual.
Setiap elemen disusun supaya harmoni visual kekal serta menjadikan rumah lebih praktikal.
“Semua elemen ini membantu menghasilkan ruang yang kemas, harmoni dan praktikal, selaras dengan konsep yang saya inginkan,” katanya.

Proses menyiapkan rumah ini mengambil masa kira-kira 10 tahun.
Setiap barang dibeli secara berperingkat mengikut bajet dan keperluan, memastikan setiap pilihan dibuat dengan teliti dan tidak membazir.
“Konsep ini juga mudah dijaga kerana kurang barang, jadi senang dibersihkan.
“Material semula jadi seperti kayu dan fabrik lembut memberi rasa nyaman. Konsep ini juga malar segar, tidak mudah lapuk dan mudah dipadankan dengan dekorasi baharu,” ujarnya..
Pemilihan warna pula dibuat secara teliti.
Asas warna neutral seperti putih, krim beige dan coklat lembut menjadi latar, diimbangi dengan perabot kayu berona cerah dan aksesori yang selari dengan palet neutral.
Inspirasi dekorasi diperoleh daripada laman web Ikea, Instagram dan Pinterest, tetapi keseluruhan sentuhan dibuat mengikut cita rasa sendiri.
Bagi Siti Sara, rumah adalah ruang untuk berehat dan mengumpul ketenangan.
Gabungan gaya Scandinavian dan Japandi minimalis yang diterapkan bukan sahaja memudahkan penyelenggaraan tetapi
juga mengekalkan suasana harmonis yang nyaman bagi setiap penghuni rumah.









