Kenangan The Lion King dorong kumpul Lego

Kenangan The Lion King dorong kumpul Lego

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAMAN kanak-kanaknya diwarnai dengan kisah Simba dan rakan-rakan dalam animasi ikonik, The Lion King.

Filem tersebut ditonton Nurul Jannah Mohd. Nor, 34, berulang kali, malah apa sahaja bahan bacaan berkaitan kartun itu turut dibelinya.

Minatnya terhadap The Lion King berterusan hingga dewasa, lebih-lebih lagi apabila dia menemui set Lego Simba berharga RM89.90, awal tahun ini.

Daripada situ, hobi mengumpul bongkah permainan itu mula berkembang dan kini, koleksinya mencecah lebih 100 set.

“Masa kecil dulu, saya pernah main Lego sepupu, tetapi tidak pernah terfikir untuk memilikinya kerana harganya mahal.

“Biasanya, saya hanya menumpang mainan orang sahaja dan itu pun saya sudah bersyukur,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Koleksi legonya melibatkan pelbagai tema antaranya Art, Botanical, City, Creator, Disney, Disney-Pixar, Fortnite, Harry Potter, Icons, Ideas, Jurassic World, Marvel, Ninjago, One Piece, Sonic, Speed Champion, Despicable Me 4, Super Mario dan Wednesday.

Namun, set paling disayangi ialah The Baratie Floating Restaurant, Nightmare Before Christmas, Hogwarts Icons, Pac Man, Back to the Future Time Machine dan The Milky Way.

Katanya, set restoran itu adalah hadiah daripada suami manakala set Krismas pula dibeli dengan harga RM849.90.

Keseluruhan yang dibelanjakan pada hobi itu melebihi RM30,000.

Kebanyakan koleksinya bertemakan Disney dan Harry Potter.

“Saya membesar bersama filem-filem Disney manakala minat pada Harry Potter pula kembali memuncak selepas menonton semula keseluruhan siri berkenaan pada September lalu,” katanya.

Walaupun koleksinya masih berada di pasaran, namun terdapat satu set yang dianggap rare kerana sukar diperoleh.

Set itu ialah Toothless daripada animasi popular, How to Train Your Dragon yang sering kehabisan stok dan dijual pada harga RM329.90.

 

Terapi minda
Mengumpul bongkah permainan ini bukan sekadar hobi tapi menjadi ruang terapi buat Nurul Jannah.

Melaluinya, dia dapat menumpukan perhatian, melatih minda dan mengasah kemahiran berfikir.

“Aktiviti ini sangat terapeutik dan ia dapat mengalihkan perhatian saya daripada perkara lain.

“Selain memberi terapi minda, membina Lego juga membantu saya menguruskan tekanan harian,” katanya.

Proses menyusun kepingan demi kepingan dianggap sebagai latihan kesabaran yang memberi ketenangan selepas hari yang sibuk.

Ada masanya dia berasa geram apabila satu unit hilang atau arahan manual kurang jelas.

Namun, proses mencari penyelesaian itu sendiri memberi kepuasan mental padanya.

“Banyak kebaikan membina Lego antaranya ialah melatih tangan dan minda.

“Ditambah pula dengan rutin pejabat dan gaya hidup kita yang kerap menaip di komputer dan gajet pintar.

“Dengan hobi ini, sekurang-kurangnya saya boleh mendapat manfaat dari segi kesihatan selain keseronokan,” katanya.

Bagi Nurul Jannah, membina Lego membolehkannya mengekspresikan kreativiti dengan cara yang unik.

Setiap reka bentuk, walaupun berdasarkan manual, memberi ruang untuk improvisasi dan personalisasi.

 

Susun waktu malam
Waktu paling ideal untuknya larut dalam hobi itu ialah pada sebelah malam.

Ketika itu, segala tanggungjawab kerja dan isteri sudah ditunaikan.

“Maka, saya boleh fokus sepenuhnya pada rutin memasang.

“Setiap malam, biasanya, saya meluangkan sehingga tiga jam pada Lego,” katanya.

Dalam tempoh itu, dia boleh menyiapkan set kecil yang mempunyai kurang daripada 700 keping bongkah.

Namun, bagi set kompleks dengan lebih daripada 1,000 keping, proses memasang boleh mengambil masa beberapa hari.

Bagaimanapun, tempoh dan cabaran itu berbeza mengikut tema dan rekaan.

“Set yang lebih teknikal contohnya Minifigure Vending Machine 21358, benar-benar menguji kesabaran saya. Sebaliknya, set yang bertujuan untuk pameran lebih mudah disiapkan dan tetap menyeronokkan,” katanya.

Cabaran tambahan muncul apabila kepingan kecil hilang atau tersilap letak.

Situasi ini dianggap sebagai cara sebenar mengasah kemahiran menyelesaikan masalah.

Justeru, penting, katanya, untuk merancang urutan membina set sebelum memulakannya.

Langkah itu bukan sahaja memudahkan, bahkan dapat mengurangkan tekanan.

Lazimnya, Nurul Jannah menambah koleksi Lego baharu selang tiga bulan sekali.

Dia terlebih dahulu akan meneliti reviu dan maklum balas daripada pengguna lain sebelum membuat pembelian.

Ini membantu memastikan setiap set yang dibeli benar-benar berbaloi dan menyeronokkan untuk dibina.

Pembelian itu juga sering dipengaruhi promosi atau jualan, jika set idaman ditawarkan pada harga istimewa, peluang itu jarang dilepaskannya.

“Kadang-kadang, menunggu promosi itu sendiri menjadi satu pengalaman tersendiri.

“Rasa teruja bila akhirnya set yang diidamkan berjaya dibeli dengan harga yang berbaloi, seolah-olah hadiah untuk diri sendiri,” katanya.

Ujarnya, pembelian permainan itu dilakukan di kedai Lego mahupun laman web rasmi.

Adakalanya, ia dibeli di platform e-dagang.

“Pengalaman membeli Lego dari luar negara memang seronok, sebab setiap hari saya menghitung detik menunggu bungkusan kotak sampai,” katanya.

Nurul Jannah tidak berhasrat untuk menjual setiap koleksi yang telah dibinanya.

Baginya, setiap satunya sangat istimewa kerana terhasil daripada penat lelah, cinta dan kenangan.

“Saya mencurahkan sepenuh hati dan jiwa dalam proses membinanya, jadi tidak mungkin ia akan bertukar milik.

“Tetapi, saya tidak kisah untuk menghadiahkan set baharu kepada keluarga dan rakan-rakan,” katanya yang berkhidmat dalam bidang pengurusan latihan dan pembangunan jaminan kualiti untuk operasi pusat panggilan khidmat pelanggan.


Sertai komuniti
Minatnya terhadap Lego membawanya ke komuniti yang luas.

Dia kini aktif dalam komuniti pengumpul dan pembina Lego, Brick Unity Team.

Sehingga kini pelbagai program bersama masyarakat telah digerakkan.

Bukan itu sahaja, dia turut menjadi hos untuk kempen retailer Lego online.

Setiap pengalaman itu dianggap sebagai peluang pembelajaran yang unik sekali gus memberi inspirasi untuknya terus berkembang.

“Brick Unity Team membuka peluang saya untuk memperluaskan jaringan dengan pengumpul Lego lain sambil berkongsi pendapat tentang set yang diminati.

“Walaupun baru setahun menyertainya, tetapi banyak pengalaman dan nilai tambah baharu yang dipelajari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN