Bursa Malaysia cecah 1,665 mata, paras tertinggi dalam 15 bulan

Bursa Malaysia cecah 1,665 mata, paras tertinggi dalam 15 bulan

PADA 5 petang semalam, FBM KLCI ditutup tinggi 1.40 mata kepada 1,711.39 berbanding 1,709.99 pada sesi dagangan akhir Selasa lalu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia melonjak melepasi 1,665 mata semalam, susulan pengumuman dividen  Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit, disokong oleh sentimen pasaran luaran dan domestik yang semakin bertambah baik.

Pada pukul 5 petang semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi pada 1,665.90, berbanding 1,646.90 pada Khamis.

Indeks penanda aras dibuka positif pada 1,648.05 dengan jumlah dagangan sebanyak 2.75 bilion unit bernilai RM3.08 bilion semasa sesi dagangan akhir.

Kali terakhir FBM KLCI mencapai paras melebihi 1,665 mata adalah pada September 2024.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pengukuhan tersebut mencerminkan reaksi positif pelabur terhadap prestasi pasaran serantau dan global yang lebih stabil.

Katanya, ia juga didorong oleh jangkaan dasar monetari yang lebih longgar oleh bank pusat utama dunia.

“Pemulihan sentimen risiko turut memainkan peranan penting apabila pelabur kembali memasuki pasaran ekuiti selepas tempoh ketidaktentuan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, di peringkat domestik, minat belian awal turut disokong oleh pembelian saham berwajaran tinggi serta keyakinan terhadap prospek pendapatan syarikat tersenarai, khususnya dalam sektor perbankan dan perladangan, yang memberi sumbangan besar kepada pergerakan FBM KLCI.

Mohamad Idham berkata, pengukuhan nilai ringgit merupakan antara faktor sokongan kepada prestasi pasaran saham, namun bukan satu-satunya pemacu utama.

“Ringgit yang lebih kukuh membantu mengurangkan tekanan kos import, meningkatkan keyakinan pelabur asing serta menggalakkan aliran masuk dana portfolio. Keadaan ini lazimnya memberi sokongan kepada pasaran ekuiti, terutamanya saham bermodal besar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hala tuju pasaran saham turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain termasuk prestasi korporat, jangkaan kadar faedah, pergerakan aliran dana global serta perkembangan geopolitik.

“Oleh itu, pengukuhan ringgit boleh dianggap sebagai pemangkin sokongan kepada pasaran, tetapi bukan penentu tunggal kepada arah pergerakan FBM KLCI,” katanya.

Sementara itu, Pakar Strategi dan Ekonomi Negara di IPP Wealth Managers Ltd., Mohd Sedek Jantan berkata, FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat yang lebih sempit minggu hadapan apabila pelabur mula menutup posisi taktikal selepas kenaikan kukuh minggu ini.

“Setakat ini, indeks telah meningkat 61.43 mata atau 3.83 peratus bagi bulan Disember, termasuk kenaikan 1.72 peratus minggu ini, menjadikan bulan ini antara tempoh yang lebih positif bagi pasaran ekuiti tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan jumlah dagangan mungkin menyederhana susulan sesi dagangan yang lebih singkat menjelang cuti Krismas dan hujung tahun, dengan aktiviti pasaran kekal di bawah purata tiga bilion saham sehari.

“Dengan beberapa data ekonomi domestik dijadualkan diumumkan minggu hadapan, pasaran berkemungkinan menunjukkan kecenderungan lebih berhati-hati sebelum aliran dana kembali normal pada awal Januari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×