Lelaki juga jadi mangsa dera

Lelaki juga jadi mangsa dera

LELAKI juga boleh menjadi mangsa, sama ada secara fizikal mahupun emosi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDERAAN terhadap lelaki adalah isu yang jarang dibincangkan tetapi realitinya wujud di sekeliling kita. Apabila berbicara mengenai mangsa keganasan rumah tangga, masyarakat biasanya membayangkan wanita. Hakikatnya, lelaki juga boleh menjadi mangsa, sama ada secara fizikal mahupun emosi.

Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat 1,865 kes melibatkan mangsa lelaki pada 2024, meningkat berbanding 1,213 kes pada 2023. 

Sepanjang tujuh bulan pertama 2025, sebanyak  1,183 kes dilaporkan. Secara keseluruhan, sekitar 25 peratus daripada mangsa keganasan rumah tangga di Malaysia dalam tempoh 2022 hingga 2024 adalah lelaki, menunjukkan isu ini bukan terpencil.

Bentuk penderaan yang dialami lelaki serupa dengan wanita, termasuk penderaan fizikal seperti dipukul, ditendang atau diancam dengan objek serta penderaan emosi seperti dihina, dipersendakan, dikawal pergerakan, diugut atau dihalang berhubung dengan keluarga. Penderaan seksual dan kewangan juga berlaku. Kes-kes sebegini biasanya berlaku dalam senyap kerana ramai lelaki memilih memendam derita daripada menceritakannya.

Stigma masyarakat menjadi cabaran utama. Ramai lelaki malu, takut atau bimbang dicemuh sebagai lemah jika mengaku didera.

Persepsi ‘lelaki mesti kuat’ menyebabkan mangsa lebih suka berdiam diri. Untuk mengubah ini, masyarakat perlu lebih empati, tidak menyalahkan mangsa lelaki dan memberi sokongan apabila mereka tampil membuat aduan. 

Kesedaran awam perlu menekankan keganasan rumah tangga merupakan  isu kemanusiaan tanpa mengira jantina.

Di Malaysia, pihak berkuasa sudah memulakan langkah inklusif. Program Lelaki Budiman Negara oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bertujuan memperkasa lelaki sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, termasuk modul pendidikan untuk membina keluarga harmoni tanpa keganasan.

Dalam Islam, lelaki diangkat sebagai qawwam iaitu pemimpin dan pelindung keluarga yang bertanggungjawab. Konsep ini menuntut lelaki bersikap amanah, kasih sayang, sabar dan menghormati pasangan serta anak-anak. 

Pun begitu, qawwam bukan lesen menindas sebaliknya amanah yang harus dipenuhi dengan adil dan ihsan. Kegagalan lelaki dalam peranan ini boleh menimbulkan masalah sosial termasuk penderaan dan pengabaian nafkah.

Bagi membina kesejahteraan emosi lelaki, beberapa langkah praktikal disarankan:

  • Akui dan urus emosi: Kenal pasti perasaan seperti marah atau sedih dan salurkan dengan cara sihat. Islam memuji mereka yang menahan marah dan menangis dianggap ekspresi fitrah manusia. Ibadah dan amalan sunnah boleh menenangkan jiwa.

  • Berkongsi dan berkomunikasi terbuka: Elakkan memendam konflik. Suami isteri digalakkan berbincang secara jujur dan lembut. Kaunseling melalui Program Lelaki Budiman Negara tersedia bagi kesulitan tertentu. Prinsip syura membantu mencari penyelesaian bersama.

  • Dapatkan sokongan: Jangan malu mencari bantuan melalui Talian Kasih 15999, pejabat kebajikan atau kaunseling LPPKN. Islam membenarkan rawatan moden dan kaunseling selagi selaras syariat. Pemulihan rohani seperti solat dan taqarrub kepada Allah juga penting.

  • Rancang pelan keselamatan: Lindungi diri daripada penderaan fizikal dengan langkah praktikal dan undang-undang. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) membenarkan pengeluaran Perintah Perlindungan Interim untuk mangsa, termasuk lelaki.

Secara keseluruhan, Islam menganjurkan lelaki bersikap seimbang emosi, tegas menegakkan hak diri tetapi lemah lembut dalam tutur kata. Gabungan ketabahan rohani, tawakal, sokongan profesional dan perlindungan undang-undang membantu lelaki membina ketenangan jiwa dan mencegah penderaan.

DR. MOHD. AFIFUDDIN MOHAMAD

Pensyarah Kanan di Jabatan Kesihatan Komuniti, 

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), 

Universiti Sains Malaysia (USM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×