UPTM perlu jadi pusat rujukan kepakaran, penyelidikan luar bandar

UPTM perlu jadi pusat rujukan kepakaran, penyelidikan luar bandar

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan anugerah Ijazah Doktor Falsafah (Pentadbiran Perniagaan) kepada Borhanuddin Abdul Manan (kanan) diiringi Naib Canselor UPTM, Profesor Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh pada Majlis Konvokesyen Ke-3 universiti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) perlu menjadi pusat rujukan kepakaran terutamanya dalam penyelidikan dan latihan yang boleh menyokong agensi serta komuniti luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu pen­ting agar pembangunan desa dipandu oleh data, kajian dan solusi praktikal.

“Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, keutamaan saya ialah memastikan modal insan luar bandar dibangunkan secara menyeluruh.

“Dalam hal ini, peranan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan UPTM khususnya sangat pen­ting dalam membuka lebih banyak peluang kemajuan melalui pendidikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian se­masa merasmikan Majlis Konvoke­syen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kali Ke-3, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini semalam.

Katanya, penubuhan Institut Kajian Ekonomi Bumiputera (IKEB) akan memberi ruang kepada UPTM untuk mengangkat lagi agenda pemerkasaan bumiputera terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar yang memerlukan sokongan tersusun untuk melonjakkan potensi mereka.

“Saya juga mahu UPTM memperluas kerjasama bukan hanya dengan Mara, tetapi juga bersama agensi di bawah KKDW seperti Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) supaya manfaat pembangunan modal insan dapat dirasai secara lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya.

Sempena Majlis Konvoke­syen itu, UPTM meraikan pencapaian seramai 2,075 graduan sekali gus mencerminkan iltizam universiti dalam melahirkan graduan berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri dan negara.

Dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat status universiti penuh, UPTM telah mencapai kadar 93.4 peratus kebolehpasaran graduan dan ia membuktikan program yang ditawarkan menepati kehendak industri.

Untuk rekod, hampir 70 peratus program akademik yang ditawarkan UPTM diperkasakan dengan pensijilan professional serta mencatat pertambahan pengambilan pelajar sebanyak 30 peratus dengan jumlah pelajar semasa mencecah 8,000 orang.

UPTM yang merupakan universiti kedua di bawah ekosistem Mara memfokuskan penawaran program berteraskan Applied Profesional Education dalam bidang perakaunan, perniagaan, pendidikan dan teknologi, seiring dengan misi melahirkan graduan profesional yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Institusi itu turut mencapai potensi unggul sebagai sebuah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) yang berjaya mengukuhkan jaringan antarabangsa melalui kolaborasi di beberapa institusi dari Jerman, New Zealand dan Mexico, selain mendapat pengiktirafan status Platinum Association of Chartered Certified Accoun­tants (ACCA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×