Malaysia-China komited kukuhkan hubungan

Malaysia-China komited kukuhkan hubungan

Ahmad Zahid bersama dengan Ding Xuexiang di Rumah Tamu Negara Diaoyutai bersempena lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke republik itu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin hubungan dengan China berada pada tahap terbaik dan kedua-dua negara bersedia untuk meningkatkan lagi kerjasama demi mencapai kemajuan dan kemakmuran bersama.

Katanya, hubungan sejarah antara China dan Malaysia sejak abad ke-15 telah dipupuk apabila kedua-dua negara secara aktif bertukar-tukar lawatan peringkat tinggi dan terus menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk faedah bersama seperti ekonomi, pendidikan, pelancongan, teknologi, pertanian dan komoditi.

“Hari ini, genap 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Sejarah ini dimulai oleh Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 31 Mei 1974. Beliau telah memulakan suatu langkah berani dengan menjadi negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Republik Rakyat China.

“Sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia buat kali pertama, saya juga telah meneruskan usaha memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China melalui lawatan sulung ke sana pada tahun 2017 yang memberi fokus kepada sektor keselamatan di samping pertemuan-pertemuan susulan bersama beberapa pemimpin China yang lain.

“Berdasarkan momentum ini, saya dapat melihat sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-China telah disambut baik bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, tetapi juga rakyat di kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Zahid semalam me­ngadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri China. Ding Xuexiang di Rumah Tamu Negara Diaoyutai bersempena lawatan rasmi yang pertama ke republik berkenaan.

Beliau berkata, kunjungan hormat itu merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan ikatan persahabatan dan kerjasama antara kedua negara.

“Dalam kunjungan ini, kami bertekad dan berazam untuk meneruskan warisan pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan hubungan yang saling menguntungkan negara kita. Semangat persahabatan yang telah terjalin selama setengah abad ini harus disuburkan dan dipertahankan ke generasi seterusnya,” ujarnya.

Mengenai lawatan rasmi ke China, Timbalan Perdana Menteri turut berkata yang pihaknya akan meneruskan agenda bagi mengukuhkan hubungan erat sedia ada serta membincangkan isu dan kerjasama dua hala.

Ia termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi tinggi, pembangunan industri halal dan pengurusan bencana, di samping meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkasa jalinan hubungan antara rakyat kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN