PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad memperoleh tiga lot tanah pajakan bersebelahan seluas 19.62 hektar di Mukim Bukit Raja, Selangor sebagai langkah strategik bagi menambah rizab tanahnya di lokasi berpotensi tinggi.
Pengambilalihan itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Prima Kuasa Sdn Bhd yang memeterai perjanjian jual beli dengan SJ Properties Sdn Bhd pada harga tunai RM113.5 juta.
Menurut Paramount, transaksi berkenaan akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
“Pembangunan yang dirancang melibatkan pembinaan unit kediaman termasuk rumah teres dua tingkat, rumah bandar serta kondominium bertingkat rendah dan telah memperoleh kelulusan perintah pembangunan.
“Projek berkenaan dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM579 juta sepanjang tempoh enam tahun dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan syarikat.
“Pembangunan itu juga akan mengukuhkan GDV sedia ada Paramount berjumlah RM5.04 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Tapak berkenaan terletak di kawasan pertumbuhan baharu Shah Alam Seksyen U9, berhampiran Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) serta kira-kira tiga kilometer dari persimpangan Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam dan GCE.
Dalam lingkungan 10 kilometer dari tapak tersebut terdapat beberapa pembangunan bandar matang dengan kemudahan lengkap seperti Cahaya SPK, Sunway Kayangan, Denai Alam dan City of Elmina.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew berkata, pengisian semula tanah secara berhemah dengan tapak yang sedia dibangunkan adalah penting bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat.
“Tapak di Shah Alam ini menawarkan peluang menarik berikutan lokasinya yang strategik, tahap kesalinghubungan yang baik serta sejajar dengan trend demografi dan pembandaran yang terus memacu permintaan terhadap perumahan berkualiti di Selangor,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang dua dekad lalu, Paramount telah membina reputasi kukuh di Shah Alam menerusi pembangunan bandar Kemuning Utama seluas kira-kira 212.07 hektar, Utropolis Glenmarie seluas 8.09 hektar serta pembangunan komersial Sekitar26 Enterprise seluas 12.14 hektar.
“Kami memberi tumpuan untuk membangunkan projek di kawasan yang mempunyai rekod prestasi terbukti. Pendekatan ini mengukuhkan kepercayaan pembeli rumah dan pihak berkepentingan terhadap jenama Paramount,” ujarnya. – UTUSAN











