PETALING JAYA: Ketiadaan penemuan baharu dalam siasatan Jawatankuasa Bebas Integriti (IIC) yang dikemukakan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan berpunca daripada kelemahan jawatankuasa itu, sebaliknya berpunca daripada had kuasa yang dimiliki.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, IIC yang ditubuhkan oleh FAM tidak mempunyai kuasa statutori untuk memaksa saksi tampil memberi keterangan atau mengemukakan dokumen penting, sekali gus menjejaskan keberkesanan siasatan.
“IIC tidak mempunyai kuasa untuk memanggil atau memaksa saksi memberi keterangan. Ini jelas apabila Notari Awam serta ejen-ejen pemain tidak memberi kerjasama, manakala pemain pula hanya menyerahkan pernyataan bertulis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nik Erman, kekangan tersebut menyebabkan keputusan siasatan sudah boleh dijangka kerana IIC hanya bergantung kepada kerjasama sukarela pihak-pihak berkaitan.
“Apabila sesebuah jawatankuasa siasatan tidak mempunyai kuasa memaksa saksi atau mendapatkan dokumen, hasil siasatan pasti terbatas,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh saranan IIC agar laporan polis dibuat, namun menegaskan jawatankuasa itu sekadar boleh mengemukakan laporan dan cadangan tanpa kuasa untuk mengarahkan FAM mengambil tindakan lanjut.
“IIC tidak boleh memaksa FAM membuat laporan polis atau mengambil apa-apa tindakan. Keputusan muktamad tetap terletak di tangan FAM,” jelasnya.
Nik Erman menambah, gesaan supaya laporan polis dibuat bukan perkara baharu, malah Appeals Committee FIFA dalam motivated decision sebelum ini juga telah menyarankan perkara sama kepada FAM.
“Namun sehingga kini, saranan itu masih kekal sebagai saranan. Tanpa tindakan susulan, isu yang sama akan terus berulang,” katanya. – UTUSAN










