Lepasi cabaran halangan ninja setinggi 16 meter

Lepasi cabaran halangan ninja setinggi 16 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meniarap masuk ke halangan selebar sejengkal, membuatkan jantung berdebar kencang dan adrenalin melonjak.

Seterusnya, cabaran memanjat, melompat dan bergayut dengan pantas serta tangkas pula menanti, sekali gus menguji kekuatan fizikal serta ketahanan mental.

Walaupun badan terasa sengal, nafas tercungap-cungap dan peluh mula membasahi, namun tekad untuk menamatkan misi tetap menyala.

Pengalaman penuh aksi sebagai ninja ini boleh dicuba di taman tema tertutup, Game On terbaharu yang terletak di pusat beli-belah The Mines.

Ia merupakan lokasi ke-9 dan terbesar setakat ini, dengan keluasan melebihi 70,000 kaki persegi.

Lebih istimewa, destinasi hiburan keluarga ini menampilkan lebih daripada 30 tarikan yang direka khas untuk semua peringkat umur.

Pengurus taman tema, Shaun Lee berkata, pengunjung pasti teruja dengan cabaran halangan ninja setinggi 16 meter.

Buat julung kalinya, permainan simulator kapal terbang diperkenalkan di lokasi ini bagi membolehkan pengunjung merasai pengalaman mengendalikan pesawat.

“Kami turut menyediakan zon permainan air bagi memberikan keseronokan tanpa henti buat kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat juga kemudahan boling dengan lorong yang dibina mengikut ukuran piawaian rasmi.

Tarikan lain ialah zon aktiviti kreatif untuk imaginasi dan permainan praktikal, bilik karaoke di samping ruang khas untuk aktiviti berkumpulan atau sambutan hari jadi.

Tunggang lembu
Walaupun kelihatan mudah, ramai pengunjung kecundang apabila mencuba cabaran bullring yang memerlukan mereka menunggang lembu mekanikal.

Aktiviti ini menguji ketangkasan, keseimbangan serta keberanian setiap individu, menjadikannya pengalaman yang mencabar dan mendebarkan.

Pengunjung perlu menahan diri sekuat mungkin ketika lembu bergerak secara tidak menentu, dengan kelajuan yang meningkat dari masa ke masa.

Dengan gerakan berpusing, ada pengunjung yang tergolek, tercampak dan terhumban sambil diselangi gelak ketawa.

Destinasi gaya hidup terkemuka

Pembukaan lokasi terbaharu Game On ini mengukuhkan lagi kedudukan The Mines sebagai destinasi gaya hidup terkemuka di Lembah Klang

Pengurus besarnya, Alicia Yuen berkata, pelbagai lagi inisiatif penambahbaikan aset utama yang dirancang pada 2026 bagi meningkatkan lagi pengalaman membeli-belah dan rekreasi untuk semua.

“The Mines komited untuk berkembang selari dengan keperluan pelanggan dan komuniti.

“Pengenalan Game On dan konsep baharu lain mencerminkan visi kami untuk mewujudkan destinasi meriah dan pelbagai bagi menarik minat penduduk tempatan serta pelancong,” katanya.

Ujarnya, The Mines turut memperkenalkan pelbagai konsep runcit dan rekreasi baharu.

Antaranya, Kin+Zo Land, tarikan bertema ladang seluas 25,000 kaki persegi yang menampilkan zon permainan interaktif untuk kanak-kanak dan trek go-kart.

Bagi penggemar hobi dan pencinta kecergasan, Q Pocket menawarkan koleksi barangan trendy, manakala Oxygym Fitness menyediakan pengalaman gim mewah pada harga berpatutan.

Pencinta makanan boleh menikmati pilihan baharu seperti Chagee, Auntea Jenny dan Wallace.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×