Ketua Polis Melaka pertahan kenyataan - Utusan Malaysia

Ketua Polis Melaka pertahan kenyataan

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pendedahan mengenai rekod jenayah teman wanita salah seorang daripada tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal dekat sini pada 24 November lalu, adalah berasaskan fakta dan rekod rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penjelasan itu perlu disampaikan, susulan kes itu tular dalam media sosial dan mencetuskan kekeliruan masyarakat yang menuntut penjelasan rasmi pihak berkuasa.

Katanya, polis tidak akan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasaskan fakta.

“Apa yang saya jelaskan adalah berdasarkan maklumat yang tular dan menjadi tanggungjawab saya sebagai Ketua Polis negeri.

“Ramai individu dipanggil polis sekadar untuk memberi keterangan dan itu tidak bermakna mereka mempunyai rekod jenayah. Tetapi jika berlaku tangkapan, maka ia akan direkodkan secara rasmi dan atas asas itulah kenyataan ini dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, semalam.

Sebelum ini, Dzulkhairi berkata, salah seorang wanita yang menuntut siasatan dengan mendakwa kononnya dia ialah isteri salah seorang si mati, sebenarnya hanyalah kekasih dan mempunyai 10 rekod jenayah termasuk kesalahan cubaan membunuh.

Dedahnya, wanita berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang hubungan perkahwinan, sebaliknya hanya tinggal bersama sebagai pasangan kekasih sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, peguam mewakili keluarga si mati menafikan kenyataan Dzulkhairi.

Dzulkhairi berkata, pihak yang meragui pendedahannya boleh menggunakan saluran undang-undang sedia ada dan bukannya tampil dengan kenyataan yang mengelirukan masyarakat.

Beliau terbuka menerima keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sejak awal siasatan diserahkan sepenuhnya kepada Bukit Aman tanpa campur tangan. Keputusan AGC membuktikan ketelusan proses siasatan dan polis akur dengan apa juga keputusan yang dibuat,” katanya.

Dzulkhairi berkata, anggota polis yang cedera dalam insiden berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan pulang ke rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×