Perubahan hormon punca kencing manis semasa hamil

Perubahan hormon punca kencing manis semasa hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kencing manis semasa kehamilan atau diabetes melitus gestasi (GDM) menjejaskan tiga daripada 10 wanita di Malaysia.

Berdasarkan data antarabangsa, kadar GDM di negara ini mencatatkan peningkatan ketara, daripada 12.5 peratus pada 2016 kepada 27.1 peratus pada 2022, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi di rantau Asia Tenggara.

Menurut pakar senaman dan kehamilan, Dr. Norliza Mohd. Salleh, GDM bukanlah penyakit kronik, sebaliknya ia berkait rapat dengan perubahan hormon yang berlaku sepanjang kehamilan.

Katanya, hormon akan terus naik mendadak terutama di peringkat awal kehamilan, sekali gus menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tidak stabil.

“Ramai wanita panik apabila didiagnosis GDM sedangkan sebelum mengandung, tidak pernah menghidap diabetes.

“Keadaan ini bukan sesuatu yang luar biasa dan boleh berlaku kepada mana-mana wanita, termasuk yang sihat dan aktif sebelum hamil,” katanya baru-baru ini.

Ujarnya, wanita dengan indeks jisim badan (BMI) tinggi dan berumur 35 tahun ke atas atau mempunyai sejarah keluarga diabetes didapati lebih berisiko.

Selain itu, gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan makanan tinggi gula, kurang aktiviti fizikal, stres berlebihan dan kurang rehat turut menyumbang kepada GDM.

Pengesanan awal
Saringan GDM boleh dilakukan seawal kehamilan dengan mengambil kira faktor seperti BMI, umur, sejarah keluarga dan gaya hidup.

Wanita yang dikenal pasti berisiko tinggi akan menjalani ujian toleransi glukosa oral (OGTT) pada minggu ke-12 kehamilan.

Bagi yang tanpa faktor risiko, ujian itu biasanya dilakukan antara minggu ke-22 hingga ke-24.

Melalui ujian tersebut, GDM dapat dikesan di peringkat awal atau pertengahan kehamilan, sekali gus membolehkan langkah kawalan diambil.

Justeru, katanya, wanita hamil perlu lebih peka terhadap tanda-tanda awal seperti keletihan melampau, perubahan emosi dan tahap tenaga yang turun naik secara mendadak.

 

Kesan kepada ibu, bayi
GDM bukan sahaja memberi kesan kepada ibu, malah bayi dalam kandungan.

Antara risiko utamanya ialah bayi dilahirkan dengan saiz lebih besar (macrosomia) yang menyukarkan proses kelahiran normal di samping hipoglisemia (gula rendah) dan jaundis teruk.

Dalam jangka panjang, kanak-kanak berisiko menghadapi masalah obesiti dan diabetes pada usia lebih awal.

Ujar Norliza, GDM boleh mempengaruhi proses kelahiran kerana ramai wanita memerlukan pembedahan caesarean, terutama jika bayi terlalu besar.

“Pengurusan awal dan pemantauan beterusan semasa kehamilan adalah kunci untuk mengurangkan risiko komplikasi kepada ibu dan bayi,” katanya.

 

Pemakanan sihat
GDM boleh dikawal melalui pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan rawatan perubatan jika perlu.

Wanita hamil digalakkan menggantikan karbohidrat ringkas seperti nasi putih dan makanan manis dengan karbohidrat kompleks yang dicerna lebih perlahan.

Pendekatan ini membantu menstabilkan paras gula, mengurangkan rasa lapar berlebihan dan memberikan tenaga yang lebih konsisten sepanjang hari.

Norliza turut mengesyorkan sekurang-kurangnya 150 minit senaman seminggu, yang boleh dibahagikan kepada 30 minit sehari selama lima hari.

“Antara aktiviti selamat untuk wanita hamil sehingga ke trimester ketiga ialah berjalan kaki, berenang dan berbasikal,” katanya.

Senaman itu bukan sahaja membantu mengawal gula, bahkan meningkatkan sensitiviti insulin, mengurangkan risiko komplikasi dan memberi kesihatan fizikal yang lebih baik kepada ibu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×