PETALING JAYA: Perodua melabur lebih RM11 bilion bagi pembelian komponen pada tahun ini dan akan meningkat kepada RM11.5 bilion tahun depan bagi menyokong pembangunan kenderaan dan perkembangan vendor tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pembangunan industri automotif tempatan dengan pengenalan kesemua model baharu yang menyumbang sehingga 95 peratus kandungan tempatan.
“Pengeluaran komponen tempatan yang tinggi bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah memperkukuh rantaian pembekal dan ekosistem industri sokongan automotif di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Perodua Traz di sini semalam.
Selain itu, Zainal Abidin berkata, Perodua menyasarkan jualan 1,900 unit sebulan bagi model Perodua Traz.
Katanya, dengan harga bermula RM76,100 model ini dilihat mampu milik bagi golongan pengguna dan pelancarannya sekali gus melengkapkan rangkaian produk Perodua, termasuk model paling asas berharga RM22,000.
“Dengan harga dan spesifikasi yang ditawarkan, model ini mampu merangsang permintaan domestik dalam ekonomi semasa.
“Kami juga telah menjalankan kajian pasaran dan survei pengguna bagi memastikan strategi ini tepat,” jelasnya.
Mengenai kereta elektrik (EV) Perodua, beliau berkata, kenderaan QV-E menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan walaupun pengedaran masih terhad.
Katanya, setakat ini lebih 5,000 pelanggan telah melakukan sesi pandu uji secara walk-in di sembilan outlet yang dibuka, meskipun belum merangkumi seluruh negara.
“Kami terpaksa menjadualkan sesi pandu uji kerana kekurangan kenderaan untuk dipandu, tetapi sambutan setakat ini amat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata, pelanggan juga menunjukkan minat terhadap konsep Battery as a Service (BaaS) yang diperkenalkan Perodua.
“Konsep ini bertujuan memastikan hayat bateri EV dapat dikekalkan serta mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
“Pihak Perodua telah membincangkan perkara ini dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memahami konsep tersebut.
“Rancangan jangka panjang kami adalah memastikan bateri EV yang telah digunakan tidak mencemarkan persekitaran dan dikendalikan dengan penuh tanggungjawab,” jelasnya. – UTUSAN











