KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah merekodkan nilai rampasan berjumlah RM30.37 juta menerusi pelbagai operasi penguat kuasa bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November tahun ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Sabah, Peter J. Berinus Agang berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding RM9.132 juta yang diperoleh untuk tempoh sama pada tahun lalu.
Beliau berkata, ia merupakan hasil pemeriksaan yang dilaksanakan menerusi beberapa operasi penguatkuasaan termasuk Ops Tiris, Ops Ria dan Ops Kesan 4.0 yang merekodkan 1,534 tindakan kes di bawah pelbagai akta.
“KPDN Sabah telah melaksanakan sebanyak 136,600 pemeriksaan premis perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negeri bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2025.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 67,972 pemeriksaan bagi tempoh sama pada 2024,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, daripada keseluruhan tindakan penguatkuasaan itu, kompaun berjumlah RM662,250 telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan manakala sebanyak 96 kes telah dituduh di mahkamah sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, KPDN Sabah turut menerima sebanyak 1,967 aduan pengguna di seluruh negeri dengan 1,861 aduan berjaya diselesaikan setakat ini manakala 106 aduan masih dalam siasatan. – UTUSAN










