SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang baru selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan mencuri kabel landasan kereta api sekali lagi diberkas polis kerana kembali aktif melakukan jenayah sama.
Kali ini suspek berusia 38 tahun itu bukan dicekup berseorangan, sebaliknya bersama lima lagi rakannya dalam serbuan polis di Jalan Kuala Ketil, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejayaan itu melalui Op Pintu/Lusuh susulan kekerapan kecurian kabel landasan kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, lelaki terbabit yang menjadi ketua ‘Geng Kavi’ dicekup kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika sedang berada dalam sebuah kereta di lokasi dipercayai menjadi tempat pelupusan kabel dicuri mereka.
“Dalam serbuan itu, polis merampas lapan gulung kabel KTMB serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memotong dan memecah kabel termasuk kapak, tukul besi, mesin pengisar, pemotong dan gergaji besi.
“Modus operandi mereka adalah dengan merosakkan pagar KTMB sebelum memasuki kawasan landasan dan mencuri kabel menggunakan kapak dan pisau yang dibalut plastik bagi mengelak terkena renjatan elektrik,” katanya di sini, hari ini.
Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya lima kes potong dan curi kabel KTMB dan Telekom Malaysia (TM) dengan anggaran kerugian mencecah RM10,000.
Menurutnya, kumpulan itu menggunakan sebuah Proton Wira dan sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan dengan penunggangnya mengenakan jaket pantulan cahaya bagi mengaburi mata orang ramai.
“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, termasuk ketua kumpulan yang memiliki 30 rekod kesalahan lampau. Ujian air kencing kesemua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek akan disambung reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – UTUSAN








