SUNGAI PETANI: Cubaan seorang lelaki mencuri kabel tembaga milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di belakang bangunan sebuah pasar raya di Kampung Baru, di sini membawa padah apabila dia cedera parah dipercayai terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi, pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 6.08 pagi itu, suspek berusia 29 tahun terbakar lebih 70 peratus dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada KTM berkaitan gangguan bekalan kuasa elektrik di laluan antara Tasek Gelugor dan Sungai Petani.
“Sebaik sampai ke lokasi, didapati seorang lelaki terbaring dengan kecederaan parah kerana terbakar berdekatan sistem bekalan kuasa landasan. Turut ditemui adalah beberapa alatan memotong kabel dan apabila disoal siasat lelaki itu memaklumkan dia dibakar sekumpulan ahlong kerana kononnya gagal melangsaikan hutang,” katanya.
Namun, ujar Hanyan, siasatan lanjut pihak polis mendapati lelaki berkenaan memberi keterangan palsu untuk menutup kesalahannya cuba mencuri kabel dan selain dia mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Akta Keretapi 991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). – UTUSAN







