THE HAGUE: Hakim rayuan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak satu daripada beberapa cabaran undang-undang yang dikemukakan Israel bagi menghentikan siasatan terhadap tindakan rejim itu dalam perang di Gaza.
Dalam keputusan rayuan, para hakim enggan membatalkan keputusan mahkamah rendah yang membenarkan siasatan pendakwaan terhadap dakwaan jenayah di bawah bidang kuasa ICC, termasuk peristiwa yang berlaku selepas serangan oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Keputusan itu bermakna siasatan diteruskan, manakala waran tangkap yang dikeluarkan tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, kekal berkuat kuasa.
Kementerian Luar Israel menyifatkan keputusan tersebut sebagai contoh sikap tidak peduli ICC terhadap hak kedaulatan negara-negara yang bukan ahli mahkamah itu, menurut satu hantaran di platform media sosial X.
Israel menolak bidang kuasa mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu.
Rejim itu turut menafikan dakwaan jenayah perang di Gaza, di mana ia melancarkan kempen ketenteraan yang menurutnya bertujuan menghapuskan Hamas susulan serangan pada 7 Oktober 2023.
ICC sebelum ini turut mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Hamas, Ibrahim Al-Masri atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, namun waran itu kemudian ditarik balik selepas laporan yang boleh dipercayai mengenai kematiannya.
Perjanjian gencatan senjata dalam konflik tersebut berkuat kuasa pada 10 Oktober, namun perang itu telah memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza dan menyebabkan keadaan kehidupan yang amat teruk.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, kira-kira 67,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel di Gaza.
Keputusan ini hanya melibatkan satu daripada beberapa cabaran undang-undang Israel terhadap siasatan ICC dan waran tangkap ke atas pegawainya.
Tiada garis masa ditetapkan bagi mahkamah membuat keputusan terhadap cabaran-cabaran lain berhubung bidang kuasanya dalam kes ini.-AFP










