KUBANG PASU: Meskipun mengusahakan perniagaan ikan pekasam secara kecil-kecilan di rumah, seorang wanita di Kampung Kemboja, Jitra di sini mampu meraih pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.
Yushaiza Rusdi, 53, yang sudah 23 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu berjaya menjual sehingga 1,000 kilogram (kg) ikan pekasam sebulan kepada pengedarnya di seluruh Kedah selain mendapat tempahan dari luar negara termasuk Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Lebih menarik, bagi menjaga kualiti dan tahap kebersihan produk, dia membungkus ikan pekasam berkenaan di dalam kelambu untuk mengelak gangguan lalat dan serangga lain.
“Saya jual kepada pengedar seluruh Kedah termasuk di Sungai Petani dan Alor Setar seperti di Pekan Rabu.
“Tempahan memang ikut permintaan. Kalau bulan Ramadan memang tidak menang tangan kadang-kadang jadi berganda berbanding hari biasa,” katanya ketika ditemui semalam.
Dia kini mengusahakan perniagaan itu bersama anak perempuannya, Aina Syafika Natasya Mohamad Asri, 32, dan menantunya, Mohamad Arsyad Janudin, 40.
“Sejak lapan tahun lepas anak dan menantu saya membantu. Menantu bertanggungjawab mencari bekalan ikan seperti puyu, lampan, sepat dan haruan di sungai-sungai sekitar daerah ini. Ada juga yang membuat tempahan ikan laut tetapi jarang kerana orang suka ikan sungai,” ujarnya.
Katanya, ikan pekasam itu dijual pada harga borong antara RM15 hingga RM25 mengikut jenis ikan kepada pengedar mereka dan permintaan bertambah kerana mereka kini menjual secara dalam talian di media sosial.
Yushaiza berkata, proses pembuatan ikan pekasam bukan mudah kerana melibatkan banyak peringkat termasuk menyiang, memerap dengan garam dan membalut dengan beras goreng tumbuk lalu diperam beberapa minggu.
“Kami mengupah penduduk kampung untuk menyiang ikan, jadi dapatlah juga mereka merasa duit poket untuk belanja harian,” ujarnya.-UTUSAN.










