PETALING JAYA: Suhu sejuk yang mencecah sehingga 5 darjah Celsius pada waktu malam menambahkan lagi penderitaan penduduk Gaza, apabila ada yang terpaksa berselimutkan kain basah dan lembap.
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nur Sabrina Suhaimi berkata, bulan Januari dijangka menjadi tempoh paling sukar dengan suhu sejuk melampau yang bakal memburukkan lagi penderitaan fizikal rakyat Gaza.
“Antara bulan Disember hingga Februari, Gaza bakal berdepan musim sejuk melampau terutamanya pada bulan Januari. Suhu sejuk ini boleh mencecah sehingga 5 darjah Celsius pada waktu malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, banjir besar akibat hujan lebat telah menghanyutkan lebih 20,000 khemah penduduk sehingga mereka terpaksa menggunakan getah trampolin bagi menggantikan tempat berteduh yang uzur manakala sebahagian lagi berlindung di bawah sisa runtuhan bangunan yang berisiko menghempap mereka pada bila-bila masa.
“Walaupun berdepan situasi getir, pasukan CGM di Gaza tetap meneruskan pemantauan dan penyaluran bantuan. Mereka sendiri menjalani kehidupan sukar seperti penduduk lain, namun komited mengusulkan projek baharu berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.
“Terdapat salah seorang daripada mereka yang melangsungkan perkahwinan secara sederhana, membuktikan kelangsungan hidup diteruskan walau di tengah ancaman maut,” katanya.
Sementara itu, Kedutaan Palestin memberitahu Utusan Malaysia, lebih 2,153 serangan ganas direkodkan terhadap penduduk Palestin sejak awal tahun ini.
“Serangan tersebut bukan lagi bersifat provokasi ringan, sebaliknya ancaman fizikal yang nyata terhadap nyawa penduduk awam.
“Di Ein al-Duyuk, mereka bertindak menceroboh kediaman penduduk Palestin dan memecahkan tingkap rumah sehingga menyebabkan kecederaan kepada beberapa penghuni termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Menurut beliau, situasi sama dilaporkan di Kufr Malek apabila harta benda persendirian dimusnahkan dan struktur bangunan dibakar, ditambah pula dengan contengan slogan berbaur perkauman dan kebencian di dinding premis penduduk tempatan.
“Tindakan ini dilihat sebagai strategi halus rejim Zionis untuk mengukuhkan dasar pengilhakan secara ‘de facto’ iaitu memaksa penduduk asal Palestin meninggalkan tanah air mereka melalui taktik intimidasi dan ketakutan berterusan,” katanya. – UTUSAN










