Matrade jana jualan RM3.62 juta menerusi The Big 5 Global 2025

Matrade jana jualan RM3.62 juta menerusi The Big 5 Global 2025

PESURUHJAYA Perdagangan, Matrade Dubai, Badrul Hisham Hilal (kanan) bersama Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin (dua dari kanan) di reruai Matrade di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjana jualan bernilai RM3.62 juta dalam The Big 5 Global 2025 di Dubai, menyumbang kepada jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM195.25 juta.

Pameran ini telah diadakan dari 24 hingga 27 November 2025 di Pusat Dagangan Dunia Dubai dan diiktiraf sebagai acara pembinaan terbesar di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan (MEASA).

Menurut Matrade, Pavilion Malaysia menampilkan penyertaan 10 pempamer tempatan dalam acara , sekali gus mencatatkan prestasi komersial yang memberangsangkan.

“Edisi 2025 menarik perhatian antarabangsa yang meluas dengan kehadiran pengunjung dari 165 negara serta penyertaan lebih 2,800 pempamer.

“Selain itu, Pavilion Malaysia turut merekodkan sebanyak 307 pertanyaan perdagangan, mencerminkan minat kukuh pasaran antarabangsa terhadap produk dan perkhidmatan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, prestasi ini mengukuhkan peranan Matrade dalam memperluas akses pasaran global bagi perusahaan Malaysia serta mempertingkatkan daya saing eksport negara di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama dan sinergi strategik antara agensi kerajaan ini mencerminkan usaha kolektif di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Program Promosi Eksport (JK-Eksport), di mana Matrade memainkan peranan penting dalam memudah cara agenda promosi perdagangan negara.

“Sepanjang empat hari pameran, Matrade memastikan para peserta Malaysia memaksimumkan pendedahan kepada pembeli antarabangsa melalui penganjuran sesi padanan perniagaan (B2B) yang disasarkan serta program jaringan strategik,” katanya.

Inisiatif ini telah memudah cara interaksi penting dengan rakan niaga berpotensi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar dan pasaran pertumbuhan tinggi yang lain.

Hasil langsung daripada usaha ini, produk seperti aksesori bilik mandi, produk paip berasaskan getah dan sistem retikulasi anai-anai telah berjaya memperoleh pesanan segera bagi kemasukan terus ke pasaran.

Antara produk berpotensi tinggi yang menyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan termasuk bahan binaan (papan buih CLC, acuan dan fasad hiasan), penyelesaian elektrik dan mekanikal, sistem pergerakan udara cekap tenaga serta komponen fabrikasi aluminium dan keluli yang direka khas untuk industri pembinaan.

Selain itu, produk berkaitan landskap seperti lantai getah EPDM (Ethylene Propylene Diene Monomer) turut tersenarai.

“Produk ini memanfaatkan kepakaran unik industri getah Malaysia dan mematuhi piawaian kualiti antarabangsa yang ketat.

“Ia menawarkan kestabilan UV yang tinggi, ketahanan terhadap cuaca serta komposisi tidak toksik, sekali gus menerima pengiktirafan positif daripada pengunjung antarabangsa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×