SAYA ingin mengulas artikel bertajuk OIC suara Islam di pentas Global yang diterbitkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 22 November lalu.
Artikel tersebut menyebut Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai wadah diplomatik utama memainkan peranan penting dalam menyatukan suara negara-negara Islam berdepan isu-isu kemanusiaan dan keselamatan global.
Artikel itu turut menyebut dalam konteks konflik Palestin, OIC menjadi antara organisasi antarabangsa yang lantang menentang penindasan rejim Zionis. Melalui pelbagai persidangan luar biasa dan kenyataan bersama, OIC mengutuk keras tindakan keganasan, penempatan haram serta pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Sebagai contoh, ketika insiden Global Sumud Flotilla, sekumpulan aktivis kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza ditahan oleh rejim Israel.
Tindakan kejam tersebut mengundang kutukan keras daripada OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menuntut agar Israel mematuhi undang-undang antarabangsa. OIC juga segera mengeluarkan kenyataan rasmi apabila tragedi pembunuhan beramairamai di Beit Lahiya, Gaza, yang meragut lebih 70 nyawa.
Persatuan itu mengecam jenayah tersebut dan mendesak campur tangan antarabangsa. Selain itu, OIC turut membantah pelanggaran serius terhadap tapak suci umat Islam seperti Masjid Ibrahimi di Hebron. Pertubuhan itu menyeru Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan provokasi dan melindungi Tapak Warisan Dunia tersebut.
Semua tindakan ini menggambarkan keprihatinan OIC terhadap penjagaan maruah serta warisan Islam sejagat. Namun begitu, peranan besar OIC sering dibatasi oleh realiti geopolitik dunia moden. Walaupun menjadi organisasi kedua terbesar selepas PBB, namun OIC tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan terhadap resolusi yang dipersetujui dalam sidang-sidangnya.
Pada pendapat dan pandangan saya, OIC dilihat kurang berfungsi. Ini kerana dunia Islam seolah-olah dipermainkan oleh dunia bukan Islam. Jika kesatuan Eropah memiliki kekuatan senjata, namun bagaimana pula di pihak OIC?
Di pihak Israel pula, mereka seolah-olah tidak mengambil peduli tentang pihak lawan, yang terus-menerus melakukan keganasan, pembunuhan dan sebagainya.-UTUSAN
TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang.










