Co-Labs Coworking optimis pertumbuhan pasaran Johor

Co-labs Coworking optimis pertumbuhan pasaran Johor

BENJAMIN TEO JONG HIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

INDUSTRI ruang kerja bersama atau co-working di Malaysia terus berkembang pesat, didorong oleh permintaan syarikat pemula, perusahan kecil dan sederhana (PKS), mahupun syarikat multinasional (MNC) yang mencari fleksibiliti dan kos operasi lebih rendah.

Turut berkembang dalam landskap ini adalah Co-labs Coworking, sebuah jenama di bawah Paramount Corporation Bhd. yang terus memperluaskan jejaknya di luar Lembah Klang.

Pengendali tempatan tersebut kini sedang mengorak langkah untuk menembusi pasaran Johor Bahru dengan memanfaatkan pertumbuhan di terutamanya dengan pertumbuhan pesat di wilayah tersebut termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Dalam temu bual eksklusif bersama Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Paramount Corporation Bhd. BENJAMIN TEO JONG HIAN berkongsi dengan Wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI perkembangan Co-labs ke Johor Bahru, di samping hala tuju syarikat tersebut.

UTUSAN: Boleh berikan pengenalan ringkas mengenai Co-labs Coworking?

BENJAMIN: Co-labs Coworking bermula pada tahun 2017 dan dalam tempoh lapan tahun ini, kami telah membuka lapan ruang kerja bersama di seluruh Lembah Klang, dengan pusat kesembilan bakal dibuka hujung tahun ini. 

Pembukaan kesembilan ini sangat menarik bagi kami kerana ia menandakan penembusan pertama kami di luar Lembah Klang dengan membuka di Mid Valley Southkey, Johor Bahru.

Kami adalah ruang kerja bersama yang memenangi anugerah, disokong oleh syarikat induk  iaitu Paramount, yang mempunyai pengalaman berdekad lamanya sebagai syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah. 

Pada awalnya, Co-labs diwujudkan berdasarkan prinsip co-working sebenar iaitu membina komuniti dan menyediakan akses kepada syarikat pemula, PKS dan pekerja sendiri untuk mendapatkan ruang pejabat profesional dengan fleksibiliti. 

Sehingga hari ini, nilai ini masih kekal. Tetapi sejak beberapa tahun, penawaran nilai ruang kerja bersama sudah banyak berubah. Hingga kini, hampir separuh penyewa kami adalah agensi besar dan korporat

 

Berapa kapasiti ruang kerja bersama dan rangkaian Co-labs ketika ini?

Kami mempunyai 180,000 hingga 185,000 kaki persegi di bawah pengurusan. Menjelang hujung tahun, jumlah ini akan meningkat kepada 200,000 kaki persegi dengan pembukaan baharu di Mid Valley Southkey, Johor. 

Dalam 200,000 kaki persegi ini, kami menempatkan hampir 350 hingga 400 syarikat dari pelbagai saiz, termasuk pekerja sendiri, syarikat pemula, MNC dan klien perusahaan. Secara keseluruhan, kami menyokong lebih 3,000 ahli.

 

Apakah kelebihan lokasi baharu di Mid Valley Southkey, Johor Bahru?

Ia disasarkan dibuka pertengahan Disember. Ini adalah antara pejabat Gred A terbaharu yang dilancarkan di Johor Bahru, terletak dalam pusat beli-belah Mid Valley yang kini menjadi destinasi utama di Johor Bahru. 

Lokasinya sangat strategik iaitu terletak betul-betul di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) yang memberi sambungan terus ke Causeway Link dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). 

Perjalanan ke Tambak Johor hanya lima hingga 10 minit. Aksesibiliti ini adalah faktor penting dalam pemilihan lokasi kami.

 

Apakah konsep reka bentuk yang digunakan di pusat baharu itu?

Co-labs baharu di Mid Valley Southkey berkeluasan 14,000 kaki persegi. Dari segi arah reka bentuk, ia adalah konsep ‘Modern Heritage’. 

Ini pendekatan yang kami gunakan sejak tiga pusat terdahulu iaitu kami cuba mengetengahkan identiti Malaysia melalui elemen tempatan termasuk bahan seperti batik dan rotan. Kami mahu ruang ini mencerminkan imej Malaysia dengan jelas.

 

Adakah Co-labs sudah mendapat pertanyaan atau minat awal daripada penyewa di Johor?

Ya, sudah ada. Walaupun kami sangat besar di Lembah Klang, di Johor kami masih pemain baharu. Ekosistem tempatan masih belum begitu mengenali kami. 

Tetapi kami berada di antara aset paling premium di Johor. Itu sendiri menarik banyak syarikat. Jadi banyak pertanyaan sudah kami terima walaupun kami masih baharu di pasaran.

Saya percaya dengan gelombang peningkatan yang sedang kita saksikan di Johor dan ia disumbangkan oleh pelbagai faktor. Salah satunya adalah banyak pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan.

Selain itu, kita dapat melihat pelbagai industri mula berkembang. Sudah tentu, pusat data adalah salah satu sektor terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun begitu, kami juga menyaksikan kemasukan besar-besaran syarikat dari Singapura. Untuk menjawab soalan anda, itulah salah satu pasaran utama yang menjadi sasaran kami.

Mengikut senarai prospek semasa, kira-kira 40 peratus adalah syarikat dari Singapura.

 

Apakah peluang utama yang anda lihat di Johor, terutamanya dari syarikat Singapura?

Kami lihat banyak syarikat Singapura sedang mengembangkan atau memindahkan operasi ke Malaysia. Dengan infrastruktur baharu, pusat data dan minat pelaburan langsung asing (FDI) yang memuncak, Johor ialah pasaran berkembang pesat. 

Penyelesaian turnkey kami sangat sesuai untuk perusahaan yang mahu masuk pasaran Malaysia dengan cepat.

 

Bagaimana unjuran pertumbuhan co-working dalam empat hingga lima tahun akan datang?

Mencapai lima peratus daripada keseluruhan ruang pejabat mungkin mustahil dalam masa terdekat. Tetapi bagi kami, kami merancang untuk meneruskan tahap pertumbuhan sekarang. 

Tahun ini sahaja kami membuka tiga lokasi. Matlamat kami ialah berada dalam tiga teratas di Malaysia dari segi keluasan dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, syarikat memang merancang untuk mengembangkan kehadiran di Johor. Kami sudah mula meninjau lokasi baharu untuk tahun depan. Sasaran asas kami adalah satu pembukaan  di Johor tahun depan, tetapi jika optimistik, mungkin dua.

 

Apa yang membezakan Co-labs Coworking daripada pesaing lain?

Kekuatan kami bermula daripada hakikat bahawa kami adalah sebahagian daripada Paramount Group. Dengan visi kumpulan untuk ‘Changing lives and enriching communities for a better world’, nilai ini membimbing cara kami membangunkan seluruh ekosistem ruang kerja bersama kami.

Sebagai syarikat induk, Paramount memberi kami kelebihan besar dengan memanfaatkan pengalaman berdekad-dekad sebagai pembina ruang dan pemaju hartanah. 

Tidak banyak operator lain yang boleh menawarkan perkara ini. Selain itu, kami juga dapat memanfaatkan kekuatan kunci kira-kira Paramount, yang membolehkan kami mengembangkan perniagaan pada skala yang tidak mudah dicapai oleh operator lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×