Kebuluran Gaza dirancang demi keuntungan tokoh perniagaan Mesir

Kebuluran Gaza dirancang demi keuntungan tokoh perniagaan Mesir

SEORANG kanak-kanak perempuan menyusun barangan untuk dijual di gerainya di Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Satu laporan penyiasatan terbaharu mendedahkan kebuluran yang melanda Gaza bukan semata-mata kesan peperangan, sebaliknya didakwa dirancang dan dimanipulasi sebagai satu ekonomi keuntungan oleh rangkaian pihak berkepentingan merentasi sempadan.

Siasatan oleh Mada Masr, sebuah portal media bebas Mesir, mendapati ahli perniagaan Mesir dan Palestin tertentu didakwa meraih keuntungan besar daripada sekatan Israel, kawalan bantuan kemanusiaan dan kekurangan makanan yang menjerut kehidupan penduduk Gaza.

Laporan bertajuk Kings of Famine itu menamakan Ibrahim al-Argany, seorang tokoh perniagaan berpengaruh dari Semenanjung Sinai, sebagai individu utama yang mengetuai Kumpulan Sons of Sinai, syarikat logistik yang mengawal kemasukan barangan melalui pintu Rafah dengan hubungan rapat bersama tentera dan agensi keselamatan Mesir.

Menurut laporan itu, beberapa syarikat perdagangan Palestin yang diluluskan Israel pula bertindak sebagai orang tengah, mengenakan bayaran koordinasi tinggi kepada peniaga Gaza bagi membawa masuk barangan komersial dan makanan asas.

Sistem yang dikenali sebagai ‘koordinasi barangan’ itu memaksa peniaga membayar puluhan ribu dolar bagi setiap trak, dengan kos tambahan dikenakan bagi akses keutamaan, penyimpanan dan kelewatan, sehingga menjadikan harga makanan meningkat secara mendadak.

Laporan itu turut menamakan sebuah syarikat keselamatan dan logistik Mesir, Aqsa for Transport, Security and Guarding Services, yang didakwa mengenakan bayaran keselamatan sehingga AS$30,000 (RM122,913) bagi setiap trak untuk memastikan barangan sampai ke dalam Gaza.

Apabila Israel mengehadkan kemasukan barangan komersial tetapi membenarkan bantuan kemanusiaan, rangkaian tersebut didakwa menukar strategi dengan menyamar barangan komersial sebagai bantuan, membolehkan produk bukan keperluan masuk sementara makanan dan ubat-ubatan kritikal terus berkurangan.

Menurut Program Makanan Dunia (WFP), harga barangan asas di Gaza melonjak lebih 1,000 peratus, memaksa keluarga menjual harta benda dan mengurangkan pengambilan makanan sehingga ramai berdepan kebuluran.

Laporan itu turut mendakwa keuntungan daripada operasi tersebut mencecah ratusan juta dolar, termasuk kontrak besar yang diperoleh daripada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meskipun terdapat aduan mengenai harga melampau dan ketelusan yang lemah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×