Kereta kabel bandar pertama dilancarkan di luar Paris - Utusan Malaysia

Kereta kabel bandar pertama dilancarkan di luar Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Kereta kabel bandar pertama dilancarkan pada Sabtu, dengan gondola kelihatan terapung di ruang udara pinggir tenggara Paris.

Pelancaran laluan C1 berlangsung di bandar Limeil-Brevannes dengan kehadiran Presiden Wilayah Ile-de-France, Valerie Pecresse, serta datuk bandar kawasan-kawasan yang dilalui perkhidmatan kereta kabel berkenaan.

Laluan sepanjang 4.5 kilometer itu menghubungkan Creteil ke Villeneuve-Saint-Georges, melalui Limeil-Brevannes dan Valenton.

Kereta kabel tersebut dijangka membawa kira-kira 11,000 penumpang sehari menggunakan 105 gondola, dengan setiap satu mampu memuatkan 10 penumpang duduk.

Keseluruhan perjalanan mengambil masa sekitar 18 minit termasuk hentian, berbanding kira-kira 40 minit menggunakan bas atau kereta.

Perkhidmatan ini turut menghubungkan kawasan kejiranan yang terasing dengan Laluan 8 Metro Paris.

Projek bernilai 138 juta euro (RM663.9 juta) itu dibina pada kos yang lebih rendah berbanding pembinaan sistem kereta api bawah tanah, menurut pihak berkuasa.

“Metro bawah tanah tidak mungkin dapat direalisasikan kerana kos melebihi 1 bilion euro (RM4.81 bilion) yang tidak mampu dibiayai,” kata Naib Presiden Majlis Wilayah Ile-de-France yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan, Gregoire de Lasteyrie.

Ia merupakan kereta kabel bandar ketujuh di Perancis, dengan sistem trem udara seumpamanya sudah beroperasi di beberapa bandar lain termasuk Brest, Saint-Denis de La Reunion dan Toulouse.

Sistem yang pada asalnya digunakan untuk merentasi kawasan pergunungan berbatu kini semakin digunakan bagi menghubungkan kawasan kejiranan yang terasing.

Kereta kabel bandar pertama Perancis dibina di Grenoble, di kaki Banjaran Alps, pada 1934. Gondola ikonik yang dikenali sebagai bubbles itu kini menjadi antara simbol bandar di tenggara Perancis tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×