TAWAU: Kerajaan Sabah dijangka membentangkan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada tahun hadapan, sekali gus memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu yang mampu melonjakkan fasa kedua pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Belanjawan Sabah yang dibentangkan baru-baru ini merupakan belanjawan pertama di bawah kerangka SMJ 2.0, namun masih meneruskan banyak program sedia ada yang telah digagaskan menerusi SMJ 1.0.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan kita menjangkakan pembentangan pelan hala tuju SMJ 2.0 yang lebih menyeluruh dengan inisiatif baharu bagi memacu fasa kedua pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui GRS,” katanya ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di Servay Evergreen Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun pada Persidangan Dewan Undangan Sabah, semalam.
Dalam ucapan pembentangannya, Masidi berkata, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM6.402 bilion pada tahun depan.
Menurut Armizan, belanjawan yang dibentangkan masih belum mengambil kira sepenuhnya potensi hasil tambahan daripada pemberian khas 40 peratus yang kini masih dalam peringkat perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Unjuran belanjawan sekarang masih mengambil kira pemberian khas sekitar RM600 juta. Namun apabila kadar 40 peratus itu dimuktamadkan kelak, kita akan mempunyai ruang fiskal yang lebih luas untuk merangka inisiatif baharu bermula 2026,” katanya. – UTUSAN










