JASIN: Selepas hampir berputus asa untuk mencukupkan dana sebanyak RM185,000 bagi rawatan pemindahan hati anak mereka, sepasang suami isteri tidak menyangka memperoleh sumbangan secara tiba-tiba kelmarin.
Mereka menerima sebanyak RM120,000 yang disumbangkan oleh Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, berkata, sumbangan besar yang disampaikan malam kelmarin mengejutkan keluarganya ketika mereka hampir berputus asa mencari dana.
“Saya sangat terkejut apabila Dr. Akmal datang sendiri malah memaklumkan wang itu sepatutnya digunakannya untuk pergi haji bersama isteri tahun hadapan.
“Pengorbanan itu terlalu besar dan saya benar-benar terharu serta bersyukur atas keikhlasan beliau membantu anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serkam Tengah, di sini semalam.
Menurutnya, anak tunggal mereka, Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq berusia dua tahun empat bulan disahkan menghidap Chronic Liver Disease Secondary to Biliary Atresia atau kegagalan fungsi hati dan kini mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Katanya, keadaan fungsi hati anaknya semakin merosot dan memerlukan pemindahan hati segera yang dirancang menggunakan penderma daripada dirinya sendiri di Hospital Renji, Shanghai, China.
“Doktor memaklumkan pemindahan hati sepatutnya dilakukan sebelum usia dua tahun namun kini umur anak saya sudah melepasi tempoh itu dan risikonya semakin tinggi.
“Walaupun diingatkan supaya bersedia daripada segi mental dan fizikal dengan segala kemungkinan, saya reda dan mahu berusaha selagi termampu untuk anak saya,” katanya.
Muhammad Ikmal Haziq berkata, jumlah keseluruhan dana diperlukan adalah sekitar RM185,000 bagi menampung kos rawatan, penginapan serta perbelanjaan sepanjang berada di China.
Namun sebelum ini sebuah yayasan telah berjaya mengumpul kira-kira RM62,000 sejak November lalu.
Katanya, usaha kutipan dana turut dibantu ADUN Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem yang turut menghebahkan masalah yang dialami.
Menurutnya, selepas pembedahan kelak, kos rawatan susulan termasuk ubat-ubatan dan susu khas dianggarkan sekitar RM5,000 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Muhammad Ikmal Haziq Mazlan di nombor 05049020332559.-UTUSAN.










