Bagi pencinta kucing, satu perkara yang sering menjadi topik perbualan ialah setiap si bulus memiliki personaliti yang unik.
Namun, seekor Ragdoll bernama Xavier ini benar-benar membawa maksud lain macam uniknya.
Berusia setahun, Xavier bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi dianggap ‘cucu’ kesayangan oleh pasangan Chin Lai Hong, 63, dan suaminya Ong Tai Bih, 70.
Hadiah Sambutan Hari Ibu daripada anak-anak itu akhirnya menjadi peneman setia seluruh keluarga.
Si bulus ini sering mencuri perhatian dek perangainya yang langsung tidak ‘kucing’.
Kata Lai Hong, jika dia atau suaminya membawa Xavier berjalan-jalan, kucing itu akan berubah lagak seperti seekor anjing dengan mengejar haiwan lain.
“Xavier suka kejar-kejar manja sahaja, bukan untuk membuli.Ia juga suka meronda-ronda seperti pengawal keselamatan kecil, kononnya seperti sedang menjaga keamanan.
“Gaya badannya ketika bergerak juga tidak tumpah seperti anjing K9 sekali gus membuatkan kami ketawa melihat gelagatnya,” katanya kepada Seri.
MANJA DAN TENANG
Walaupun lagaknya ibarat anjing, Xavier masih mengekalkan sifat Ragdollnya yang tenang, lembut dan sangat suka dipeluk.
Siapa pun boleh memeluknya selagi tidak kasar.
Kucing lain mungkin akan melarikan diri, tetapi Xavier pula seakan ‘melekat’ apabila dipeluk.
Lebih memeranjatkan, Xavier sangat berdisiplin. Walaupun kebanyakan masanya dihabiskan di dalam rumah, ia tidak pernah memanjat kerusi atau meja.
Malah, tidak mencakar kusyen atau perabot serta tidak pernah curi-curi keluar rumah biarpun suka bersiar-siar.
Sebaliknya, Xavier setia menunggu atuknya pulang kerja, kerana hanya itulah masa dia dibawa bersiar setiap petang.
Setiap minggu pula, Xavier akan dimandikan dan ia hanya duduk diam seakan mengerti rutin mingguan yang harus dilaluinya.
Tidak seperti kucing-kucing lain, si bulus ‘empuk’ ini memang berani dan tiada istilah fobia air dalam kamus hidupnya.
Sebab itulah ia sentiasa tampil bersih dan segar dengan bulunya yang kembang itu.
TIDUR BERSAMA ATUK, NENEK
Setiap malam, Xavier akan tidur bersama Lai Hong dan suaminya.
Ia bagaikan ‘cucu’ paling manja dan paling diberi perhatian sehingga dapat tidur sekatil bersama atuk dan nenek.
Kadang-kadang, Xavier juga menonton televisyen bersama mereka.
Jika ternampak babak anjing mengejar haiwan lain, tubuhnya tegang serta-merta seperti sudah bersedia menjadi ‘hero’.
“Kadang-kadang, kami ketawa melihat gelagat Xavier apabila menonton televisyen kerana ia berminat dengan babak anjing mengejar.
“Ia juga akan terus berbunyi dengan badannya seakan-akan siap siaga untuk mengejar binatang buas,” katanya.
Di sebalik gelagat lucu, Xavier pernah menjadi hero keluarga.
Pada suatu malam, ketika Tai Bih tiada di rumah, Xavier bertindak pantas mengejutkan Lai Hong setelah mendengar bunyi mencurigakan di atas bumbung.
Tindakannya berjaya menyelamatkan tuannya daripada pencuri yang cuba menceroboh.
Kucing Ragdoll berjiwa anjing ini bukan sahaja menceriakan rumah, tetapi pernah menjadi penyelamat keluarga.
Bagi Lai Hong, memori bersama Xavier sentiasa membawa senyuman. Walaupun anak-anak tinggal berjauhan, ‘cucu’ kecil inilah yang menceriakan hidup mereka setiap hari.
Mereka sering berkongsi video gelagat si bulus istimewa ini di TikTok @xavier-biggang, sebagai kenangan manis untuk disimpan sepanjang hayat.-UTUSAN









