Bagi seorang ibu tunggal, anak-anak bukan sahaja amanah, tetapi juga penguat semangat.
Anak-anak menjadikan mereka kuat untuk terus berdiri dan meneruskan kehidupan tanpa kehadiran sosok seorang lelaki bergelar suami dan bapa.
Walaupun hidup ibu tunggal penuh ujian, kesedihan dan terpaksa membesarkan anak-anak sendirian, mereka yakin setiap ujian dari Allah SWT ada hikmah di sebaliknya.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Noor (bukan nama sebenar), seorang ibu tunggal yang ditinggalkan suami dan menjadi satu-satunya tempat anak-anak bergantung.
Saya bertemu Noor dua minggu selepas perkahwinan anak lelaki sulungnya, Amirul (bukan nama sebenar) baru-baru ini.
Noor berkongsi rasa tentang hatinya berat sewaktu perlu melepaskan Amirul yang selama ini menjadi penguat semangatnya.
Katanya, melepaskan Amirul bukan perkara mudah.
Tetapi, melihat Amirul bahagia, berdiri sebagai suami yang bertanggungjawab, dia reda.
Dua lagi anaknya, Zarul dan Danial (bukan nama sebenar) juga semakin dewasa dan bakal membina keluarga sendiri suatu hari nanti.
“Anak-anak adalah kekuatan saya selama ini. Tanpa mereka, tidak mungkin saya masih berdiri teguh di sini,” ujarnya dalam pertemuan lewat petang itu.
Perjalanan hidup Noor sebagai ibu tunggal tidak mudah. Dia ditinggal dan digantung tidak bertali oleh suami, namun berjaya membesar dan mendidik ketiga-tiga anak lelakinya.
Amirul, Zarul dan Danial kini mempunyai kerjaya masing-masing.
“Alhamdulilah, dalam ujian yang Allah berikan, saya berupaya membesarkan mereka dengan nilai kasih sayang, saling menghormati dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Menyingkap kisah rumah tangga yang lalu, suami Noor menghilangkan diri dan sejak itu dia memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sekali gus.
Segalanya dilakukan sendirian. Menguruskan perbelanjaan makan minum, sakit pening dan pendidikan anak-anak.
Ketika itu Amirul, Zarul dan Danish, masing-masing baru sahaja berusia enam tahun, empat tahun dan enam bulan.
Menurut Noor, dia bersyukur kerana sepanjang tempoh membesarkan anak-anak, Allah SWT memberinya peluang untuk tidak cepat mengalah dan lemah.
Noor yang bekerja sebagai kerani di salah sebuah firma guaman di ibu negara itu juga bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang baik.
Dia tidak pernah berasa keseorangan. Di sebalik kesukaran, dia mendapat sokongan daripada keluarga terdekat dan rakan-rakan sekerja.
Ibu bapa dan adik beradik selalu ada untuk memberi nasihat, membantu menjaga anak-anak ketika dia sibuk bekerja dan menolongnya daripada segi kewangan apabila keadaan mendesak.
Menyingkap kenangan dengan suaminya dahulu, kata Noor, dia berkahwin dengan Zain (bukan nama sebenar) atas dasar cinta.
Mereka hidup sederhana tetapi bahagia lebih-lebih lagi dengan kehadiran tiga cahaya mata.
Namun selepas kelahiran Danial, suami mula berubah sikap. Sering pulang lewat dan percakapannya kasar.
“Setiap kali saya bertanya kepadanya, suami hanya terdiam.
“Saya tidak tahu punca kenapa suami yang sebelum itu penyayang berubah sedemikian rupa,” ujarnya.
Sehinggalah pada suatu hari, suami pulang membawa seorang wanita bersamanya.
Suami memperkenalkan wanita itu sebagai teman wanita yang bakal dikahwini. Hatinya hancur luluh dan kecewa.
Namun, dalam masa sama dia lega kerana telah menemui jawapan kepada pertanyaannya selama ini.
Tidak lama kemudian, suami mula jarang pulang ke rumah dan pada akhirnya, suami pergi tanpa pesan.
“Ketika itu saya masih percaya mungkin suami terpengaruh atau keliru sehingga sanggup meninggalkan kami anak-beranak.
“Sepanjang tempoh itu, saya melakukan pelbagai cara dan usaha untuk menjejakinya. Di tempat kerja, di kampung kelahirannya dan bertanya kepada kawan-kawan rapatnya tetapi gagal.
“Ketika itu saya benar-benar bimbangkannya, lebih daripada itu saya juga risau masa hadapan anak-anak,” ujarnya.
Menurut Noor, sepanjang tempoh itu juga dia memujuk hati dan pada akhirnya sedar tiada guna untuk berharap.
Dia nekad untuk tidak lagi bersedih dengan masa lalu dan fokus untuk membesarkan anak-anak.
Bekerja siang malam, mengatur perbelanjaan, memberi kasih sayang dan pendidikan demi melihat anak-anak berjaya.
Sepanjang tempoh membesarkan anak-anak, banyak kali dia diuji.
Wang untuk perbelanjaan harian kadangkala tidak mencukupi, tambah pula anak tiba-tiba jatuh sakit.
Tidak cukup dengan itu, dia juga menerima tekanan daripada segelintir masyarakat yang memandang serong terhadapnya.
Tahun demi tahun, ketiga-tiga anaknya membesar menjadi remaja dan akhirnya menjadi lelaki matang.
Mereka mula memahami episod duka yang dilalui ibu tanpa perlu penjelasan.
“Ketika mereka masih kecil, banyak yang mereka tidak mengerti.
“Ada sebab juga saya mendidik mereka dengan cara lebih tegas berbanding ibu-ibu lain.
“Saya juga mengajar mereka menghormati wanita, menghargai keluarga dan berbuat baik sesama manusia,” ujarnya.
Dua minggu lalu, apabila tiba masa anak sulung diijabkabul, perasaannya bercampur baur gembira, bangga, sedih dan takut.
Dia bangga kerana anak yang dibesarkan kini seorang lelaki dewasa. Dia lega kerana penat lelahnya membesarkan mereka sendirian tidak sia-sia.
Tetapi, jauh di sudut hatinya tidak lepas daripada perasaan takut. Takut sejarah berulang.
Takut anak lelakinya itu mewarisi sifat bapa yang tidak bertanggungjawab.
Dia berdoa agar Amirul dan adik-adiknya nanti menjadi lelaki yang bertanggungjawab dan menjadi pelindung kepada keluarga.
Kata Noor, siang malam dia tidak pernah berhenti berdoa. Dia tahu perjalanan Amirul baru bermula.
Dia berdoa semoga anak yang dibesarkan dengan air mata dan ketabahan itu menjadi suami yang melindungi dan menyayangi keluarga.
Dia juga sedar tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah berakhir.
Anaknya bakal membina kehidupan baharu, tetapi doa dan kasih seorang ibu tidak pernah putus.
“Saya tidak minta banyak. Cuma minta Allah jadikan Amirul, Zarul dan Danish lelaki yang lebih baik daripada bapanya.
“Lebih menghormati wanita, menghargai keluarga dan lebih bertanggungjawab,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Anak-anak adalah amanah dan itulah yang membuatkan Noor tetap bersemangat walaupun membesarkan mereka sendirian.
Dalam Islam, anak adalah amanah besar dari Allah SWT yang harus dijaga, dididik dengan baik.
Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka..’.(Surah at Tahrim (65) ayat 6).
Ini jelas menunjukkan tanggungjawab besar orang tua terhadap keluarga termasuk anak.-UTUSAN










