Ringgit mengukuh kepada 4.10 selepas Fed AS turunkan kadar faedah

Ringgit mengukuh kepada 4.10 selepas Fed AS turunkan kadar faedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit mengukuh kepada RM4.10 dalam tempoh lebih empat tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas pengumuman pemotongan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1010/1075 berbanding dolar AS, paras yang dilaporkan Bloomberg sebagai tertinggi sejak 5 Oktober 2021, berbanding 4.1155/1195 ketika ditutup semalam.

Ringgit kemudian ditutup sedikit rendah pada 4.1050/4.1090 di akhir dagangan semalam.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pemotongan kadar faedah itu melemahkan dolar AS dengan Indeks Dolar AS (DXY) yang mengukur kekuatan dolar.

“Ini berbanding enam mata wang utama lain, susut kepada 98 mata, mencatat penurunan 0.33 peratus berbanding lima hari lalu.

“Pengukuhan ringgit ini dijangka memberi kesan positif kepada pasaran import dan sektor eksport negara, selaras dengan pergerakan mata wang global yang lebih stabil.

“Bagaimanapun, keputusan yang dibuat pada akhir 2025, tidak memberikan kesan signifikan kepada pasaran kewangan dunia kerana ramai para pengurus dana telah pun mengemaskini portfolio masing-masing.

“Justeru selepas sedikit reaksi kepada pasaran, nilai matawang ringgit dijangka akan kekal stabil pada julat RM4.10 ke RM4.12,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ringgit dijangka akan terus menguji aras RM4.10 dalam beberapa minggu yang mendatang.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Fed dijangka mengekalkan kadar faedah stabil dalam masa terdekat sambil menilai prospek ekonomi yang terus berkembang.

“Bagi ringgit, ruang untuk terus mengukuh kekal besar, terutama memandangkan Bank Negara Malaysia tidak dijangka menurunkan kadar dasarnya.

“Jurang yang semakin kecil antara Kadar Dana Persekutuan dan kadar dasar semalaman dijangka menyokong mata wang tempatan, seiring langkah pengukuhan fiskal kerajaan,” katanya.

Tambahnya, penarafan terkini Fitch Ratings turut mencerminkan keyakinan terhadap disiplin fiskal Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×