Lelaki amal seks sejenis terdedah kesihatan lebih buruk

Lelaki amal seks sejenis terdedah kesihatan lebih buruk

SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan lelaki yang melakukan aktiviti seks sesama jenis (MSM) terdedah dengan risiko kesihatan lebih buruk berikutan jangkitan lebih mudah merebak menerusi hubungan berkenaan.

Selain HIV dan AIDS, penyakit transmisi seksual lain seperti sifilis, gonorrhea, klamidia, virus papiloma (ketuat di kawasan anus dan penis kemaluan), hepatitis B dan C, serta monkeypox.

Pakar perubatan kesihatan awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ia berlaku berikutan bahagian dubur adalah sensitif dan kaya dengan aliran darah.

Katanya, keadaan itu memudahkan permukaan berkenaan mudah dimasuki kuman daripada luka halus di bahagian tersebut ke dalam aliran darah dan tisu sekeliling.

“Hubungan luar tabii melalui dubur yang dilakukan secara ke­rap dan berpanjangan, menyebabkan otot pengawal (sphincter) menjadi longgar.

“Otot yang longgar boleh menyebabkan masalah kawalan perbuangan najis seperti cirit-birit. Pendedahan yang berulang kepada pelbagai kuman serta virus boleh menyebabkan bahagian dubur terdedah kepada risiko kanser dubur,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai risiko lelaki MSM.

Isnin lalu akhbar ini melaporkan Malaysia me­re­kodkan 3,230 kes ba­haru HIV pada 2023 dengan hampir 90 peratus jangkitan me­libatkan golongan lelaki, sekali gus mencetuskan kebimbangan se­rius terhadap corak penularan penyakit itu di negara ini.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 62 peratus kes dikenal pas­ti melibatkan lelaki yang men­jalinkan hubungan sejenis, angka yang disifatkan terlalu tinggi berbanding peratus kum­pulan itu dalam komposisi po­pulasi negara.

Co­rak penularan HIV kini semakin berubah daripada pengguna dadah suntikan (PWID) kepada hubungan seksual terutama melibatkan hubungan sejenis (MSM) dan ia dijangka menjadi kumpulan utama dengan jangkitan HIV menjelang 2030.

Segelintir lelaki yang mengamalkan MSM turut melakukan hubungan seks biseksual atau dengan wanita.

Dr. Sharifa Ezat berkata, dalam situasi berkenaan, selain HIV AIDS lelaki berkenaan boleh menjangkiti pasangan dengan penyakit kelamin lain seperti sifilis dan gonorrhea.

Katanya, sekiranya wanita ber­kenaan hamil, jangkitan boleh merebak kepada kandungan se­perti bayi lahir pramatang, kurang berat badan atau mati dalam kan­dungan. Dalam situasi lain jangkitan kuman teruk boleh merosakkan peranakan wanita sehingga menyebabkan kemandulan.

Sementara itu, Pakar psikologi, Dr. Noor Aishah Roslin berkata, antara faktor yang menjadi punca kepada MSM ialah pengalaman trauma dan pendedahan kepada hubungan seksual pada usia awal.

Katanya, pendedahan kepada bahan media yang dikongsi rakan-rakan, termasuk gambar atau kandungan seksual menimbulkan kekeliruan identiti serta orientasi seksual pada fasa remaja turut mendorong mereka bereksperimen tanpa memahami sepenuh­nya identiti diri.

“Pengaruh rakan sebaya dan persekitaran turut memainkan peranan besar apabila remaja terdorong melakukan tingkah laku berisiko demi diterima dalam kelompok sosial mereka.

“Tekanan untuk diterima rakan menyebabkan ada remaja terikut-ikut, termasuk melalui pendedahan kepada bahan lucah atau kandungan seksual akibat pengaruh rakan,” katanya.

Dr. Noor Aishah berkata, dalam menangani MSM sokongan awal amat penting, termasuk melalui rawatan psikoterapi dan pendekatan kaunseling berteraskan nilai keagamaan, bagi membantu golongan tersebut mengawal tingkah laku serta mengelakkan tekanan emosi.

Katanya, bimbingan yang tepat dan berperingkat boleh membantu individu memahami diri sendiri serta menjalani kehidupan dengan lebih seimbang dari segi mental dan emosi.

Utusan Malaysia turut berkongsi pengalaman, seorang pereka grafik yang hanya mahu dikenali sebagai Zoey, 24 berkata, kecenderungan songsangnya bermula sejak berusia 15 tahun dipengaruhi oleh persekitaran sosial.

“Saya tinggal di asrama lelaki yang kebanyakannya mengamalkan budaya adik dan abang angkat, saya sendiri mula keliru dengan perasaan selepas mengenali seorang senior yang kemudiannya menjadi abang angkat.

“Keakraban kami bermula dengan senior ini suka melepak di bilik saya dan selepas waktu lampu asrama dimatikan, tangannya mula menyentuh tubuh saya.

“Pada mulanya kekok dengan situasi itu tetapi mengetahui benda sebegitu normal dalam kalangan rakan-rakan sebaya, saya mula ketagih untuk mendapatkan belaian dari abang angkat tersebut dan rela memenuhi keinginannya setiap masa,” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, seorang mahasiswa institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, 21 berkata, perasaan tertarik sesama jantina mula timbul seawal usia 11 tahun.

Menurutnya, setiap kali melihat lelaki yang tampan dan segak, perasaan suka itu akan datang dengan sendiri. Walaupun sukar digambarkan, katanya konsep perasaan itu sama sahaja seperti seorang perempuan yang tertarik kepada lelaki yang ’attractive’ (menarik).

Baginya, perasaan suka terhadap sesama jenis merupakan satu ujian daripada Tuhan yang perlu dihadapinya, dan perasaan tersebut sukar untuk diubah walaupun telah dicuba berulang kali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×