HULU TERENGGANU: Kompleks Kakitangan Kastam di Gawi, Kenyir di sini yang terbiar sejak 10 tahun lalu diberi nafas baharu apabila ia dibaik pulih untuk dijadikan penempatan kedua Kolej al-Quran Terengganu (KQT).
Pembinaan kompleks itu pada asalnya sebagai penempatan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi operasi di kawasan Tasik Kenyir namun tidak pernah diduduki sepenuhnya dan terbiar sejak 2015 tanpa penggunaan rasmi.
Situasi itu berlaku ekoran isu projek Zon Bebas Cukai Kenyir yang tidak diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif menghidupkan semula kompleks berkenaan kerana satu kerugian jika bangunan yang sudah tersergam itu dibiarkan kosong.
Katanya, kerja-kerja membaik pulih kompleks tersebut sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada April tahun depan, iaitu sebelum kemasukan pelajar pertama KQT cawangan berkenaan dua bulan selepas itu.
“Apabila siap kelak, KQT akan beroperasi di dua lokasi iaitu di Padang Midin di Kuala Terengganu dan di kompleks ini,” katanya.
Menurut Satiful Bahri, penggunaan kompleks itu sebagai cawangan baharu KQT juga dapat menyelesaikan masalah di kampus Padang Midin yang berdepan kekangan penempatan pelajar dan infrastruktur.-UTUSAN.










