Arwah mahu pindah jika anak dapat kerja stabil - bekas suami

Arwah mahu pindah jika anak dapat kerja stabil – bekas suami

ANGGOTA polis mengangkat mayat Hayani Yaakob dan anak angkatnya yang dikenali sebagai Andra yang rentung dalam satu kebakaran di Taman Rathna, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : “Sebelum ini, arwah ada beritahu saya. Kalau anak sudah dapat kerja yang stabil, ‘depa’ semua (mereka) nak pindah ‘pi dok’ (menetap) di Johor. Tapi, tak sangka pula jadi macam ini.”

Itu kata Kamarozlan Muhammad, 57, bekas suami kepada Hayani Yaakob, 50-an yang rentung dalam satu kebakaran bersama anak angkatnya yang dikenali sebagai Andra, lima tahun di sebuah rumah di Taman Rathna di sini, hari ini.

Lelaki itu berkata, dia menerima panggilan kecemasan mengenai tragedi itu daripada anak perempuannya, Nini Quraisya Kamarozlan, namun, tidak mempercayai berita tersebut pada mulanya.

Kamarozlan yang juga bekas anggota tentera berkata, ketika kejadian, dia berada di sebelah pulau untuk menghantar barang dan tidak dapat bergegas ke lokasi untuk mengesahkan berita yang diterimanya itu.

“Saya maklum dekat dia. Saya kata, Along (nama panggilan untuk Nini Quraisya) ‘pi’ tengok dulu macam mana. Saya ingat macam ‘jokes’ (lawak jenaka) sahaja sebab baru minggu lepas kami ‘pi’ makan sama-sama apa semua.

“Semasa dia (Nini Quraisya) sampai sana (lokasi kejadian), dia beritahu saya. Mak dia (Hayani) ada dalam rumah tu dengan budak kecil (Andra).

“Kemudian dia kata, adik lelaki dia (Daniel Quyum) juga ada sekali. Saya tak tau bila dia (Daniel) balik sebab dia baru dapat kerja di Johor. Mungkin dia balik bercuti kot,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.41 pagi itu, mayat Hayani dan Andra dijumpai dalam keadaan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah tersebut manakala Daniel Qayyum yang cedera pula ditemui berada di ruangan dapur.

Mengulas lanjut, Kamarozlan berkata, dia jarang berhubung dengan anak-anak dan bekas isterinya itu, namun, mereka mempunyai hubungan yang baik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×