GEORGETOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) mengambil tindakan segera mengepam keluar air yang bertakung di dalam salah sebuah feri ikonik di Limbungan Bagan Dalam dekat sini.
Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, tindakan awal itu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan yang relevan dapat dijalankan dan memastikan feri tersebut kembali kepada keadaan asal.
Ujarnya, beliau turut meninjau keadaan feri itu serta-merta petang tadi sebaik sahaja dimaklumkan mengenai situasi terkini feri yang dinamakan Pulau Pinang tersebut.
“Menurut siasatan awal, keuzuran Feri Pulau Pinang itu kerana terdapat beberapa lubang kebocoran.
“Hal ini mengakibatkan air masuk ke dalam feri melalui lubang berkenaan dan memenuhi bilik enjin dan keadaan ini menyebabkan Feri Pulau Pinang condong,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya malam ini.
Terdahulu hari ini beberapa keping gambar Feri Pulau Pinang itu yang dalam keadaan terbiar dengan air melimpahi bahagian dalamnya tular di dalam media sosial sehingga mengundang rasa kurang senang penduduk negeri ini.
Malah, Setiausaha Agung DAP yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi laman sosial Facebooknya turut berkongsi rasa sedih kerana feri ikonik yang berusia lebih 100 tahun itu menerima layanan dan nasib seperti itu.
Dalam pada itu jelas Teik Cheng, Feri Pulau Pinang tersebut sudah uzur dan tidak lagi dapat beroperasi serta sudah lama tidak berkhidmat membawa penumpang atau kenderaan.
Katanya, Feri Pulau Pinang itu kini ditempatkan di Limbungan Bagan Dalam sementara SPPP memuktamadkan urusan pajakan feri tersebut kepada pembida yang berjaya.
“Pajakan Feri Pulau Pinang ini adalah untuk dijadikan sebagai muzium dan akan ditempatkan di Tanjung City Marina kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










