FAM sah cabar FIFA di CAS

FAM sah cabar FIFA di CAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) termasuk melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, proses rayuan kini memasuki fasa baharu selepas dokumen rasmi dihantar kepada CAS untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, CAS telah menetapkan tempoh 10 hari kepada pasukan peguam yang mewakili badan induk bola sepak negara itu bagi mengemukakan hujahan bertulis lengkap, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 18 Disember 2025.

“CAS telah menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember 2025 untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.

“FAM menegaskan komitmen penuh untuk melalui proses ini secara profesional, telus dan menghormati semua prosedur perundangan yang sudah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Langkah itu sekali gus mengesahkan proses rayuan kini berjalan secara rasmi mengikut garis masa yang telah ditetapkan CAS dengan semua dokumen diproses mengikut kaedah perundangan badan rayuan antarabangsa tersebut.

Menurut Mohd. Yusoff, FAM akan memastikan setiap prosedur dipatuhi tanpa kompromi dan semua tindakan dibuat berdasarkan nasihat daripada pasukan undang-undang bertauliah.

Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM serta tujuh pemain warisan selepas meneliti keseluruhan bukti dalam prosiding berhubung kes pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Dalam keputusan bertulis yang dikeluarkan, FIFA menegaskan kes tersebut merupakan pelanggaran serius di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), justeru semua hukuman dikekalkan sepenuhnya.

Hukuman ke atas FAM iaitu denda CHF350,000 (RM1.9 juta) kekal, manakala tujuh pemain terbabit turut dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Rayuan ke CAS kini menjadi peluang terakhir FAM dan pemain-pemain terbabit untuk membuktikan hujah masing-masing dalam usaha meringankan atau membatalkan hukuman yang dikenakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×