TELUK INTAN: Sepasang suami isteri, Zulkefli Md. Noor, 57, dan Azian Jamal, 50, cekal mencari rezeki dengan menjaja makanan dan minuman menggunakan sebuah bot kecil di Sungai Perak.
Pasangan itu mula berniaga sejak tahun lalu selepas Zulkefli menghadapi masalah penglihatan dan kini memegang kad orang kurang upaya (OKU).
Setiap hujung minggu dan cuti umum, bot fiber bersaiz kecil yang dinaiki mereka dipenuhi jualan seperti mi goreng, kuih-muih dan buah-buahan untuk dijual kepada pemancing di sungai itu.
Menurut Zulkefli, idea berniaga di atas bot tercetus apabila melihat ramai pemancing yang sukar mendapatkan makanan dan minuman semasa menghabiskan masa di sungai.
“Dari Jeti Amer di Taman Karentina, kami turun sekitar pukul 11 pagi dan pulang kira-kira pukul 6 petang. Kalau jualan habis awal, kami balik lebih awal,” katanya.
Katanya, mereka hanya berniaga pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah apabila jumlah pemancing lebih ramai.
Ia meliputi kawasan Batak Rabit, Jalan Maharajalela hingga ke Kampung Esso dan sekitar perairan Teluk Intan.
Zulkefli berkata, mereka mendekati pemancing secara terus atau menggunakan pembesar suara, malah ada pelanggan menelefon untuk membuat pesanan.
Katanya, pekerjaan itu bukan mudah kerana mereka perlu menempuh perjalanan hampir 40 kilometer pergi dan balik selain menghadapi cabaran ombak kuat, angin ribut dan hujan lebat.
Azian berkata, mereka memilih berniaga di atas bot selepas Zulkefli tidak lagi mampu bekerja sebagai nelayan akibat masalah saraf di mata kiri.
“Kami tidak ambil untung besar, cukup menampung modal barang jualan. Fokus kami membantu pemancing membeli makan dan minuman,” katanya.
Menurutnya, hasil jualan turut digunakan bagi keperluan rawatan susulan mata Zulkefli di Hospital Shah Alam, Selangor.
Pasangan itu juga sedang mengumpul wang untuk membeli bot baharu yang lebih selesa dan selamat buat mereka.
Ini kerana bot sedia ada terlalu kecil dan malah mereka pernah hampir terbalik akibat ombak besar, menyebabkan semua barang jualan hanyut sebelum diselamatkan bot nelayan lain.-UTUSAN.










