Sampai bila rakyat mampu bertahan?

Sampai bila rakyat mampu bertahan?

DATA Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan harga makanan meningkat sekitar 17 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH sekian lama kedengaran rungutan, “gaji baru masuk, tapi duit dah habis.” Ungkapan itu gambaran realiti hidup sebahagian besar keluarga di bandar dan luar bandar yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Isu ini bukan lagi sekadar topik perbincangan akademik, sebaliknya menjadi dialog harian di kedai mamak, selepas solat di surau, dalam perjalanan pulang dari kerja, malah di meja makan keluarga. Semua orang merasainya, cuma tahap dan bentuknya berbeza.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan harga makanan meningkat sekitar 17 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir. Namun dalam tempoh sama, purata kenaikan gaji hanya sekitar tujuh peratus. Jurang hampir dua kali ganda ini menunjukkan pendapatan rakyat bergerak jauh lebih perlahan berbanding peningkatan kos asas.

Walaupun inflasi rasmi sekitar dua hingga tiga peratus, namun tidak mencerminkan realiti harian. Di pasar raya, RM100 yang dahulunya mampu mengisi satu troli kecil kini hanya memenuhi setengah bakul.

Di pasar tani, ramai mula membelek harga dan menukar jenama lebih murah. Jika makan di restoran dahulu dianggap penghargaan diri selepas seharian bekerja, kini menjadi kemewahan yang perlu dirancang. Rakyat bukan berubah menjadi kedekut tetapi dipaksa menjadi strategik.

Kenaikan kos hidup bukan berpunca daripada kelemahan rakyat mengurus kewangan tetapi kerana struktur ekonomi meletakkan rakyat sebagai penyerap kos. Malaysia masih bergantung kepada import makanan, menjadikan harga barangan sensitif terhadap kelemahan nilai ringgit, kos logistik global dan rantaian bekalan antarabangsa.

Di dalam negara pula, kos operasi peniaga seperti sewa premis, utiliti dan tenaga kerja meningkat, menyebabkan peniaga terpaksa memindahkan kos kepada pengguna.

Kesan paling berat ditanggung golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mempunyai ruang kewangan mencukupi untuk menyerap kenaikan kos. Ada keluarga menukar lauk ayam kepada telur, daging kepada bebola ikan, manakala ibu bapa terpaksa mengurangkan makan di luar demi memastikan anak-anak tidak makan makanan segera terlalu kerap. Dalam situasi ekstrem, ada yang mengikat perut supaya anak cukup makan.

Kini, ramai rakyat berada dalam keadaan mod survival. Selepas waktu kerja tetap, mereka meneruskan kerja kedua. Ada yang mengambil tempahan masakan hujung minggu, menjadi penghantar makanan pada waktu malam atau membuka perniagaan kecil-kecilan. Kerja tidak lagi dilakukan demi kemajuan hidup tetapi sekadar untuk terus bertahan.

Bantuan tunai atau subsidi hanyalah rawatan sementara yang meredakan tekanan. Penyelesaian jangka panjang memerlukan pembetulan struktur pendapatan. Gaji perlu bergerak seiring kos kehidupan dan mengambil kira realiti harga di bandar, bukan sekadar angka purata nasional.

Kebergantungan import makanan juga perlu dikurangkan melalui sokongan lebih efektif kepada pengeluaran tempatan dan pemendekan rantaian bekalan agar harga tidak dipacu oleh kos orang tengah.

Pada masa sama, pendidikan kewangan harus diterapkan secara sistematik supaya rakyat mampu merancang ke hadapan, bukan bertindak hanya apabila terdesak.

Isu kos sara hidup tentang maruah manusia untuk hidup dengan tenang di negara sendiri untuk membeli keperluan tanpa rasa bersalah, makan di luar tanpa mengira baki bank dan merancang masa hadapan tanpa ketakutan.

Selagi harga barang terus meningkat lebih pantas daripada pendapatan, selagi struktur ekonomi tidak berubah, selagi itu rakyat akan terus berada di garis tipis antara bertahan dan rebah. Malaysia memiliki potensi besar, cuma diperlukan keberanian politik dan dasar untuk memperbetulkan sistem yang lama dibiarkan.-UTUSAN

DR. ZURINA SAMSUDIN
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Johor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×