KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sudah mempunyai senarai nama yang bakal mengisi kekosongan empat jawatan menteri.
Namun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih meneliti proses tersebut dan tidak mahu terburu-buru mengumumkan rombakan Kabinet.
Beliau juga terbuka untuk mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk ketua-ketua parti sebelum membuat keputusan muktamad.
“Saya sedang memikirkan mengenai rombakan itu tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa.
“Walaupun keputusan ini adalah prerogatif saya, saya berterima kasih dan menghargai pandangan dinyatakan kerana akhirnya saya yang perlu membuat keputusan.
“Saya pun belum bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi lagi.
“Mengisi kekosongan juga bermaksud satu rombakan kecil. Saya ada, saya ada (senarai untuk rombakan itu),” katanya.
Katanya, yang bakal dilaksanakan hanya menumpukan kepada beberapa jawatan yang masih kosong.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran dan sesi menandatangani buku terbaharunya, Rethinking Ourselves di Pavilion Bukit Jalil di sini semalam.
Pada masa ini, terdapat empat kekosongan dalam Kabinet, dengan portfolio berkenaan dipangku oleh menteri lain.
Jawatan yang masih kosong ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Perdana Menteri berkata, keputusan akhir akan diambil secara berhati-hati bagi memastikan kelangsungan agenda kerajaan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Sementara itu sewaktu menyempurnakan majlis penutup Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, di Putrajaya semalam, Anwar mengakui wujud kelemahan dalam penyampaian inisiatif kerajaan kepada golongan sasar, sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat.
Katanya, daripada 167 inisiatif baharu yang dilancarkan kerajaan sebelum ini, ada kalanya manfaatnya tidak sampai kepada penerima yang sepatutnya, menyebabkan beberapa program hanya mendapat maki hamun dan kritikan daripada masyarakat.
“Kalau kita kira, ada 167 inisiatif untuk rakyat, tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak. Yang sampai itu hanya sampah dan sumpah serta maki hamun,” katanya.
Beliau turut menekankan mengenai keperluan penjawat awam memainkan peranan penting dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan dilaksanakan sepenuhnya dan disampaikan kepada rakyat tanpa mengira kritikan atau perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.
Dalam pada itu, Anwar turut mengiktiraf sumbangan Jemaah Menteri serta kepemimpinan tertinggi perkhidmatan awam yang membantu kerajaan merangka dasar yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Program Rancakkan Madani selama tiga hari bermula Jumaat lalu, merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani dan Program Dua Tahun Kerajaan Madani, bertujuan memaklumkan prestasi kerajaan secara langsung kepada rakyat dan memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar serta inisiatif kerajaan dapat dinilai. – UTUSAN










