PETALING JAYA: Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) menyasarkan institusi kewangan mula melanggan dan mengguna pakai Future Skills Framework (FSF) Xcel seawal suku keempat 2025, menjadikan pembangunan bakat lebih konsisten, berasaskan data dan selari dengan FSF.
Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling berkata, untuk jangka panjang, AICB berharap FSF Xcel akan mewujudkan gambaran sektor yang jelas mengenai penawaran dan permintaan kemahiran, seterusnya meningkatkan mobiliti bakat dan menyediakan laluan kerjaya yang lebih terarah.
“Usaha ini dijangka meningkatkan kesiapsiagaan kemahiran sektor kewangan dan menyokong perancangan tenaga kerja jangka panjang institusi kewangan.
“Kejayaan FSF Xcel akan diukur melalui peningkatan ketara dalam prestasi kemahiran, produktiviti, peluang kemajuan kerjaya serta keupayaan tenaga kerja menyesuaikan diri.
“Bagi institusi kewangan, platform ini berfungsi sebagai pemangkin transformasi organisasi, termasuk pengukuhan pengambilan bakat, perancangan penggantian, pengurusan prestasi dan pembangunan pembelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
FSF Xcel dibangunkan melalui kerjasama strategik dengan Accendo Technologies dan disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Dasar yang digariskan dalam Financial Sector Blueprint 2022–2026 menjadi asas penting kepada perumusan FSF bagi memperkaya transformasi tenaga kerja sektor kewangan.
Melalui platform ini, individu boleh menilai tahap kemahiran mereka berbanding 25 kemahiran digital dan integrasi data utama yang ditetapkan dalam FSF serta menutup jurang kemahiran melalui laluan pembelajaran yang disesuaikan.
Bagi institusi kewangan, jelas Edward, platform ini menyediakan pandangan menyeluruh berasaskan data terhadap kemampuan tenaga kerja dan keperluan kemahiran baharu yang sedang muncul.
“Ini memberi kefahaman yang lebih jelas tentang landskap bakat semasa, selain membantu perancangan strategik untuk program peningkatan kemahiran (upskilling) dan penukaran kemahiran (reskilling).
“Sebagai penyedia teknologi bakat berasaskan kecerdasan buatan (AI), Accendo Technologies memainkan peranan penting dalam menterjemahkan FSF kepada platform digital yang dinamik dan dipacu analitik,” katanya.
Pengalaman mereka dalam analitik kemahiran dan penyelesaian bakat membantu membangunkan sistem intuitif yang mampu memberikan pandangan bermakna kepada pekerja dan majikan.
AICB menyifatkan kerjasama ini sebagai contoh sinergi yang berkesan antara kepimpinan dasar, kepakaran industri dan inovasi teknologi, semuanya bagi membina tenaga kerja sektor kewangan yang mampu menghadapi cabaran masa depan. – UTUSAN










