PASARAN ruang kerja bersama atau co-working space terus berkembang di negara dengan pertumbuhan kaki persegi dari pengendali tempatan dan luar negara meningkat dari tahun ke tahun.
Konsep ini menawarkan fleksibiliti tinggi dan kos yang lebih rendah berbanding pejabat tradisional, selari dengan keperluan perniagaan moden yang cepat berubah.
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Paramount Corporation Bhd., Benjamin Teo Jong Hian berkata, permintaan terhadap ruang kerja bersama di Malaysia akan terus meningkat didorong kecenderungan syarikat memilih pendekatan lebih fleksibel serta aset yang minimum.
Katanya, Paramount yang memiliki Co-labs Coworking melihat pandemik Covid-19 menjadi titik perubahan utama kepada industri, sekali gus mengukuhkan nilai penyelesaian ruang kerja bersama dalam kalangan syarikat pelbagai saiz daripada usahawan hingga korporat dan syarikat multinasional (MNC).
“Trend ini turut dipacu oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Syarikat baharu yang memasuki pasaran lebih cenderung memilih ruang kerja yang tidak memerlukan komitmen sewaan jangka panjang atau modal perbelanjaan yang besar.
“Syarikat yang baru memasuki pasaran biasanya memerlukan pejabat, tetapi mereka memilih pendekatan ‘asset-light’ (aset minimum) untuk mengurangkan perbelanjaan awal.
“Mereka tidak mahu terikat dengan kontrak sewaan tiga tahun, terutamanya apabila prestasi pasaran dalam 12 bulan pertama tidak dapat diramalkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, trend ini bukan sahaja berlaku pada syarikat baharu, tetapi kini melibatkan pelbagai jenis syarikat, sekali gus menjadikan ruang kerja bersama mendapat sambutan baik.
“Oleh itu, kami juga melihat sasaran kami untuk membuka ruang kerja baharu di Mid Valley Southkey, Johor pada bulan ini dapat menarik syarikat bukan sahaja tempatan, tetapi limpahan dari Singapura serta pelabur dari luar negara,” ujarnya.
Benjamin berkata, Co-Labs mempunyai 180,000 kaki persegi ruang kerja bersama ketika ini dan dijangka mencapai sehingga 200,000 kaki persegi dengan pembukaan baharu kami di Mid Valley Southkey menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, bagi keseluruhan ruang tersebut, Co-Labs menempatkan hampir 350 hingga 400 syarikat daripada pelbagai saiz, daripada pekerja bebas hingga korporat dan MNC.
“Daripada lebih 350 syarikat, kami menawarkan perkhidmatan kepada kira-kira 3,000 ahli. Kami dikenali sebagai pengendali di Lembah Klang dan tahun ini merupakan penting bagi kami ketika dengan mengembangkan sayap dan memasuki Johor Bahru,” ujarnya.
Mengulas potensi di Johor Bahru, Benjamin menegaskan lokasi itu kini menikmati momentum kukuh berikutan pembangunan infrastruktur serta trend syarikat Singapura mengalihkan sebahagian operasi ke Malaysia.
“Sekitar 40 peratus daripada prospek penyewa dalam jangkaan semasa terdiri daripada syarikat Singapura,” jelasnya.
Benjamin berkata, penawaran ruang kerja bersama di Malaysia hanyalah sekitar dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan ruang pejabat, jauh lebih rendah berbanding pasaran seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
“Singapura juga yang menghampiri 10 peratus. Namun, kami yakin pasaran ini akan terus berkembang di Malaysia,” jelasnya.
Dalam aspek pertumbuhan syarikat, beliau memaklumkan bahawa organisasi itu kini berada dalam kelompok lima teratas dari segi keluasan ruang di bawah pengurusan dan menyasarkan kedudukan tiga teratas dalam tempoh tiga tahun akan datang. – UTUSAN










