Kemahiran digital, TVET pemacu ekonomi ASEAN

Kemahiran digital, TVET pemacu ekonomi ASEAN

INTEGRASI TVET dan kemahiran digital yang kukuh akan menjadikan ASEAN bukan sahaja pengeluar tenaga kerja, tetapi juga hab inovasi,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin didominasi teknologi dan automasi, kemampuan sesebuah negara menyesuaikan sistem pendidikan dengan keperluan baharu pasaran kerja menjadi penentu utama daya saing.

Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dan kemahiran digital berperanan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi ASEAN. Seiring dengan proses digitalisasi dan peralihan kepada ekonomi hijau, jutaan pekerja di rantau ini perlu menjalani proses reskilling dan upskilling bagi memastikan mereka kekal relevan. Pendidikan serantau ASEAN mesti berevolusi untuk memenuhi tuntutan ekonomi digital yang berkembang pesat.

Kemahiran digital bukan sahaja membantu pekerja menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, tetapi juga memperluas peluang inovasi dan keusahawanan. Peningkatan literasi digital dan penguasaan teknologi membolehkan graduan bukan sekadar bersaing di pasaran kerja, malah mencipta nilai baharu melalui penyelesaian kreatif dan perniagaan berasaskan teknologi.

Agenda kemahiran digital dan TVET bukan sekadar meningkatkan kebolehpasaran graduan, tetapi juga menjamin keselamatan ekonomi rantau ini.

Justeru, perlunya integrasi pembelajaran digital dalam TVET, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan platform rentas sempadan untuk latihan industri, serta pelaksanaan menyeluruh ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF) bagi pengiktirafan kemahiran serantau.

Pelaksanaan ini akan membolehkan pekerja dan graduan bergerak antara negara anggota dengan lebih lancar, sambil memupuk standard kemahiran yang seragam.

Sebagai contoh, Kesatuan Eropah (EU) memiliki pusat penyelidikan TVET yang menyokong latihan, data tenaga kerja, dan standard kemahiran rentas negara. ASEAN wajar mencontohi EU dalam tiga aspek utama iaitu menginstitusikan dana serantau untuk pendidikan dan latihan, mempercepat harmonisasi kelayakan dan kemahiran bagi memudahkan mobiliti pekerja, serta menyesuaikan dasar pendidikan dengan ekonomi digital dan hijau. Langkah ini akan memperkukuh daya saing ASEAN serta menjadikan rantau ini bersedia menghadapi transformasi digital global.

Golongan muda ASEAN harus menjadi peneraju inovasi, bukan sekadar penerima manfaat dasar. Kemajuan sesebuah rantau bergantung kepada sejauh mana generasi mudanya mampu menguasai kemahiran digital dan TVET. ASEAN tidak boleh ketinggalan dalam persaingan global yang kini didorong oleh teknologi, inovasi dan kemahiran hijau.

Integrasi TVET dan kemahiran digital yang kukuh akan menjadikan ASEAN bukan sahaja pengeluar tenaga kerja, tetapi juga hab inovasi, pembangunan insan kreatif, dan masyarakat berdaya saing di peringkat global. Generasi muda yang celik teknologi dan vokasional akan menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi dan sosial rantau ini. – UTUSAN

SYAHRIL SOFIAN
Felo Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN