Kerajaan tidak bezakan pembangunan wilayah ikut sentimen politik.

Kerajaan tidak bezakan pembangunan wilayah ikut sentimen politik.

AHMAD Zahid Hamidi dan Fadillah pada forum Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam sempena program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah membeza-bezakan pembangunan mana-mana wilayah atau negeri mengikut sentimen dan pertimbangan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, model pembangunan wilayah yang dirangka kerajaan dibuat adalah berasaskan keperluan rakyat serta data dan bukan dipengaruhi sentimen politik atau kepartian.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah memetak-metakkan geografi politik dalam pelaksanaan dasar fiskal negara.

“Kita lihat mana mungkin negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis mendapat peruntukan melebihi negeri-negeri lain termasuk negeri yang menyokong kerajaan. Lihat juga program lembaga kemajuan wilayah di negeri-negeri pembangkang, kerajaan tidak pernah melihat perbezaan politik sebagai asas untuk membalas dendam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam sempena program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, masih ada pihak yang tetap tidak mensyukuri usaha kerajaan, seolah-olah apa sahaja yang dilakukan itu tidak pernah cukup hanya kerana mereka berbeza pandangan politik.

“Saya ingin tegaskan, bekerja untuk rakyat tidak boleh dipolitikkan. Jika ada kekurangan, kita perbetulkan. Jika ada ruang penambahbaikan, kita lakukan bersama. Pembangunan memerlukan kesatuan, bukan permusuhan,” katanya.

Sementara itu, Fadillah turut senada dengan Ahmad Zahid bahawa pembangunan di Malaysia tidak hanya dilihat dalam konteks wilayah dan politik sebaliknya berdasarkan keperluan rakyat.

“Dalam pelaksanaan projek tebatan banjir sebagai contoh, negeri di pantai timur terutama Kelantan diberikan keutamaan termasuk kawasan lain yang berisiko tinggi banjir.

“Di Sabah dan Sarawak pula, keutamaan dilihat pada hubungan jalan sebab itu Pan Borneo dilaksanakan sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di laluan itu. Sabah dan Sarawak juga diberi tumpuan dari aspek penyaluran dan pembekalan bekalan air bersih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×